Categories
NASIONAL

Pemimpin veteran BN patut bangkit realisasi perubahan

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 18 OKT: Pakatan Harapan menggesa kesemua pemimpin veteran Barisan Nasional (BN) bangkit merealisasikan perubahan yang dapat memberi kesan terhadap sidang parlimen bakal berlangsung nanti.

Dalam kenyataan bersama Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar ; Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayob dan Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong, berkata hal itu kerana Malaysia ketika ini berhadapan saat getir apabila beberapa isu kritikal menghambat negara.

Selamat MalaysiaKatanya, isu kritikal itu berlaku secara serentak membabitkan aspek politik, ekonomi, sosial dan hubungan antara kaum.

“Seluruh rakyat diseru bersatu padu menyelamatkan Malaysia demi memastikan kita tidak terjerumus ke kancah huru-hara yang memusnahkan harapan rakyat,” katanya.

Kenyataan itu juga berharap rakyat dapat bangkit secara berterusan daripada krisis melalui transisi demokratik ke arah membina Malaysia sebagai sebuah negara contoh yang moderat dan bertoleransi untuk dicontohi dunia.

“Maka, dalam konteks ini kami mengalu-alukan pertemuan bersejarah mempertemukan bekas pemimpin veteran BN termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad, Tengku Razaleigh Hamzah, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tan Sri Sanusi Junid, Datuk Seri Shafie Apdal, Tun Ling Liong Sik dan Tan Sri Ong Tee Keat, baru-baru ini.

“Seruan kami ini juga ditujukan kepada ahli parlimen Umno dan Barisan Nasional yang turut sama menjadi elemen penting untuk melakukan perubahan secara demokratik semasa parlimen bersidang bermula Isnin 19 Oktober 2015 ini,” katanya.

Pemimpin Malaysia yang berkumpul di Bosphorus, Istanbul, Turkey, pada 17 Oktober, mendesak seluruh rakyat Malaysia agar bersatu demi menyelamatkan negara dari ancaman perkauman, fahaman agama yang sempit, ekstremis dan ketidak toleransian.

Bosphorus adalah selat yang menghubungkan antara benua Eropah dan Asia. Maka para pimpinan politik berhimpun di sini dengan semangat harapan baharu untuk Malaysia dan negara akan bangkit menjadi obor harapan baru dipentas dunia.

“Selaku bangsa Malaysia berdaulat. Marilah kita bersatu selamatkan Malaysia diatas semangat Rukun negara,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.