Categories
BERITA UTAMA

Siapa lagi tak sokong Najib, sila angkat tangan

Oleh: Shahbudin Husin

Hakikat bahawa kepimpinan Najib Razak semakin ditolak oleh rakyat negara ini kian sukar dinafikan. Di mana-mana sejak kebelakangan ini, suara yang menolak lebih jelas ke depan berbanding yang menyokong.

Hakikatnya, tidak sukar menjustifasikan mengapa kepimpinannya tidak lagi diterima rakyat. Semua aspek mengenai Najib, sentiasa saja ada masalah dan nanahnya yang sukar diubati.

Kepimpinan, pelbagai aspek kelemahan, masalah yang berpunca daripada keluarga, anak isteri, bermewah, boros, janji dengan rakyat yang banyak dimungkiri dan segala macam masalah lainnya, adalah perkara pokok yang sukar dipisahkan dengan Najib sejak beliau memimpin negara ini.

Ditambah dengan isu 1MDB dan derma RM2,600 juta yang diterimanya yang kemudian menyebabkan anggota kabinet dipecat, peguam negara disingkirkan, pegawai SPRM dan polis dipindahkan, SPRM diganggu, mereka yang membuat laporan polis ditahan dan lain-lain tindakan untuk “menyelamatkan tengkuknya”, siapa pun sukar mengelak daripada merasakan kepincangan sudah ada di mana-mana.

najib-popularSatu-satunya yang menyebabkan Najib mampu bertahan ialah kerana kuasa masih berpusat kepadanya. Di hati dan sanubari rakyat, kecuali yang dikelabukan maklumat atau sengaja mengelabukan dirinya dengan sesuatu kepentingan, Najib sebenarnya sudah semakin jauh dan tidak diperlukan lagi untuk terus memimpin negara ini.

Lantaran itu, hanya Ketua-Ketua UMNO Bahagian, itu pun bukan semua, yang masih bersungguh dan berputar ligat mencari hujah untuk terus mengekalkan Najib.

Dalam mempertahankan Najib pula, tiada setara mana hujah yang mampu mereka tampilkan. Contohnya, apabila Tun Mahathir bersama lima pemimpin lain termasuk Tengku Razaleigh Hamzah, Muhyiddin Yassin dan Shafie Apdal mengadakan sidang akhbar bersama membantah Sosma, hujah yang mampu ditampilkan hanyalah dengan menggelarkan mereka sebagai “Enam Jahanam” sahaja.

Hujah-hujah berkaitan salahguna Sosma langsung tidak disentuh serta bagaimana “negara semakin jahaman” di bawah kepimpinan Najib juga tidak berani disanggah.

Yang penting bagi pengampu dan pembodek ini ialah selagi Najib yang masih banyak gula itu boleh dihurungi untuk dinikmati sedikit sebanyak manis gula yang ada padanya, maka selagi itulah beliau akan cuba dikekal dan dipertahankan.

Apa yang berlaku di luar lingkungan “cash is king”, maka segalanya akan dipersetankan saja.

Beberapa kajian mengenai kemerosotan sokongan rakyat terhadap Najib sudah banyak didedahkan sebelum ini. Bukan saja rakyat tidak lagi menyokong, bahkan di kalangan tiga juta ahli UMNO pun sokongan terhadap Najib sudah berpecah-pecah sekarang ini.

Hari ini, menurut laporan Straits Times Singapura yang memetik hasil kajian Merdeka Center, terlalu ramai pengundi Malaysia menolak kepimpinan Najib dengan bilangan pengundi Melayu yang tidak berpuas hati juga kian meningkat.

Antara lain kaji selidik yang dibentangkan kepada penganalis sektor kewangan pada minggu lepas itu ialah:-

– hanya 31 peratus pengundi Melayu terus menyokong Putrajaya pada Ogos, berbanding 52 peratus yang direkodkan pada Januari.

sokong najib– tahap penerimaan kebangsaan kini tinggal 23 peratus berbanding 38 peratus pada Januari.

– masyarakat Cina terus menunjukkan penurunan sokongan di mana hanya 5 peratus berbanding 11 peratus yang direkodkan pada Januari.

– berkaitan ekonomi, 78 peratus tidak setuju dengan cara kerajaan menanganinya. Isu ekonomi yang menjadi keprihatinan rakyat ialah kos sara hidup, pengangguran, kesan GST dan penurunan nilai ringgit.

Akuilah, di mana lagi tinggalnya nilai kepimpinan Najib sekarang ini?

Sama ada kajian ini memberi kesan kepada Najib atau Ketua-Ketua UMNO Bahagian yang terus ingin mempertahankannya, realitinya itulah keadaan negara kita sekarang ini. Ia pula tidak mungkin bertambah baik selagi Perdana Menteri yang sama memimpin kita.

Kaji selidik dan dapatan ini akan terus bertambah buruk dari semasa ke semasa dan tidak mungkin dapat diperbaiki lagi.

Untuk masa-masa seterusnya, percayalah…lebih ramai yang bangga kerana tidak menyokong Najib daripada yang ingin mempertahankannya. (SH 17/10/2015)

Leave a Reply

Your email address will not be published.