Categories
NASIONAL

Kekal tolak GST, gesa kerajaan elak ketirisan

AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 26 OKT: Pembangkang kekal menolak pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), meskipun kerajaan memberikan alasan ia dilaksana bagi mengelak defisit fiskal meningkat.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mempersoalkan kegagalan pemerintah membendung pembaziran berbillion ringgit setiap tahun sehingga mengakibatkan cukai bersifat regresif terpaksa dilaksanakan.

Azizah Permatang Pauh“Mantan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pernah menyuarakan bahawa negara mesti bersedia dan memenuhi beberapa syarat wajib sebelum melaksanakan GST.

“Antaranya adalah, tahap gaji mesti meletakkan sekurang-kurangnya 80 peratus isi rumah sebagai kelas menengah dengan gaji minimum RM 4,000 sebulan berbanding gaji median RM1,575 sekarang.

“Ini adalah supaya cukai pendapatan bersifat progresif menjadi sumber kewangan adil dan bukan guna GST semata,” jelasnya di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Selain itu, Azizah mengingatkan Kerajaan memastikan kadar ketirisan melalui projek mega dan rasuah harus dihapus dengan menguatkuasa sistem perundangan pencegah rasuah yang bebas dan berkesan.

“Dari laporan Ketua Audit Negara yang masih belum diterima dewan serta kajian berbagai pakar, bahawa anggaran konservatif peratusan ketirisan dan pembaziran dalam komponen bajet terdedah kepada rasuah adalah sekitar 25 peratus.

“Apabila dikira dengan jumlah bajet komponen terdedah adalah sekitar RM120 billion, maka sekurang-kurangnya RM30 billion boleh dijimatkan,” katanya.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.