Categories
SELANGOR

Ketepikan semangat asabiyyah elak perpecahan ummah

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 14 OKT: Masyarakat Islam hari ini perlu mengenepikan semangat asabiyyah, perbezaan mazhab serta perasaan hasad dengki bagi memastikan ukhuwah dan jalinan muafakat terus kukuh sehingga menjadi teladan kepada penganut agama lain.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi, berkata pegangan itu perlu menjadi keutamaan agar umat Islam tidak dilanda perpecahan.

Katanya, tema sambutan Maal Hijrah peringkat Selangor tahun ini adalah ‘Umat Bermuafakat Negeri Berkat’ dan ia bersesuaian dengan keadaan umat Islam yang berpecah belah terutama di sebahagian besar negara Islam.

HIJRAH MAAL“Keadaan ini berlaku walaupun mereka bertutur dalam bahasa sama iaitu bahasa Arab dan berpegang kepada kitab sama iaitu Al-Quran.

“Bahasa sepatutnya boleh mengeratkan bangsa tetapi tidak bangsa Arab dan inilah cabaran utama bagi umat Islam pada hari ini,” katanya dalam ucapan ketika majlis sambutan Maal Hijrah 1437 peringkat Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, semalam.

Beliau berkata, umat Islam perlu merenung kembali peristiwa penting ketika Rasulullah S.A.W berhijrah ke Madinah iaitu tindakan mempersaudarakan penduduk asal kota itu, golongan Ansar dengan golongan Muhajirin dari Mekah.

Katanya peristiwa itu mengangkat Islam ke tahap lebih tinggi dan jalinan permuafakatan antara kedua golongan berkenaan menjadikan perjuangan menegakkan Islam semakin kuat serta akhirnya tertubuh sebuah negara Islam.

Sambutan Maal Hijrah Tengku Sulaiman Masjid Negeri (3)“Seluruh umat Islam perlu merenung kembali peristiwa hijrah ini dan pastinya perasaan cintakan saudara sesama Islam menjadi lebih kuat.

“Sebuah negeri mempunyai umat yang bersatu padu dan hidup dalam suasana aman damai diberkati Allah,” katanya.

Majlis itu dihadiri Tengku Panglima Diraja Selangor, Tengku Sulaiman Shah, mewakili kekandanya, DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Dato’ Menteri Besar diwakili Exco Agama Islam, Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan disertai Exco Kerajaan Negeri.

Turut hadir, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Datuk Haris Kasim.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.