Categories
NASIONAL

KLIA2 ‘rosak’ sana sini, jejas keselamatan operasi

AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Kerajaan Persekutuan perlu memandang serius soal keselamatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) yang berhadapan masalah mendapan tanah serta takungan air di landasan pelepasan dan mendarat.

Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin, berkata kos baik pulih kerosakan yang ditanggung Malaysia Airlines Holdings Berhad (MAHB) sudah mencecah RM76.5 juta sejak lapangan terbang itu dibuka pada Mei 2014.

Katanya, kos pembaikan itu adalah sangat tinggi iaitu 1/3 daripada kos keseluruhan pembinaan terminal RM231 juta.

HANIPA MAIDIN“Sebelum ini, berlaku lebihan kos pembinaan KLIA2 daripada RM2 bilion menjadi RM4 bilion. Kini MAHB pula disaman Air Asia.

“Mungkin ada tambahan lagi, kita tidak tahu. Isunya bagaimana boleh berlakunya kos begitu banyak?” katanya dalam sidang media di Lobi Parlimen, hari ini.

Berdasarkan jawapan bertulis Kementerian Pengangkutan, Jawatankuasa Bebas Keselamatan KLIA2 ditubuhkan pada Januari lalu untuk mengaudit dan meneliti masalah mendapan di parkir apron, takungan air serta retakan di bangunan terminal yang mempunyai implikasi keselamatan.

Satu pasukan khas untuk melaksanakan audit ke atas pembinaan dan kemajuan KLIA2 juga ditubuhkan pada Ogos lalu.

Laporan terperinci mengenainya dijangka siap enam bulan selepas tarikh audit bermula.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.