Categories
NASIONAL

Hanipa Maidin beransur pulih

OLEH : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 8 APR: Keadaan Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin dilaporkan semakin baik hari ini selepas beliau menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana mengalami pendarahan otak, baru-baru ini.

Timbalan Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus memaklumkan, Hanipa kini mula sedar dan mampu menggerakkan anggota tangan dan kakinya.

HANIPA MAIDIN“Alhamdulillah, perkembangan beliau semakin baik hari ini. Beliau sudah mula sedar, mengenali orang sekeliling dan menggerakkan tangan dan kaki.

“Teruskan berdoa agar YB Sepang kita cepat sembuh dan diberikan kesihatan yang baik,” katanya dalam kenyataan.

Hanipa sebelum ini, terpaksa dibawa keluar dari Persidangan Dewan Rakyat di Parlimen selepas beliau dipercayai pengsan secara tiba-tiba.

MB lawatHanipa dikejarkan ke Institut Jantung Negara, bagaimanapun, beliau didapati memerlukan pembedahan otak kerana mengalami pendarahan kepala dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali sempat meluangkan masa menziarahi beliau dan mahu semua pihak mendoakan kesihatan Hanipa pulih seperti sediakala.

-nR-

Categories
NASIONAL

Hanipa: Tubuh Suruhanjaya Diraja siasat dakwaan Muhyiddin

SHAH ALAM, 28 FEB: Suruhanjaya Diraja perlu ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan Tan Sri Muhyiddin Yassin berkenaan kemasukan wang SRC International Sdn Bhd sebanyak RM42 juta ke akaun peribadi Perdana Menteri.

Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin, berkata ia susulan kenyataan Muhyiddin bahawa mantan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail mengesahkan kepadanya wujud perbuatan jenayah dilakukan Datuk Seri Najib Razak dalam kes terbabit.

Katanya, meskipun Gani masih enggan memberi sebarang komen terhadap pendedahan terbaru Muhyiddin itu, namun situasi berkenaan menunjukkan ada sesuatu tidak kena.

HANIPA MAIDIN“Mengapa dalam keadaan wujudnya bukti dan keterangan kuat untuk mendakwa Perdana Menteri, tiba tiba bukan sahaja beliau tidak didakwa, sebaliknya mantan Peguam Negara dan mantan Timbalan Perdana Menteri ditamatkan perkhidmatannya?

“Adakah ada campur tangan daripada pihak tertentu sehingga pendakwaan ke atas Perdana Menteri tidak dilakukan?” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, Hanipa berkata, keraguan akan timbul jika polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwan itu.

Katanya, ia susulan hasil siasatan berkenaan akan dirujuk kepada Peguam Negara yang dilantik atas nasihat Perdana Menteri.

“Justeru, saya percaya perlunya satu badan lain yang benar-benar bebas dan telus selain polis dan SPRM untuk membuat siasatan pendedahan terbaru Muhyiddin supaya ia lebih telus, mendalam dan berkesan,” katanya.

Muhyiddin dalam kenyataan semalam mendakwa beliau ditunjukkan bukti oleh Gani berkenaan wang yang dimasukkan ke akaun peribadi Najib dari syarikat SRC International dan mengesahkannya sebagai satu perbuatan jenayah.

-AA-

Categories
NASIONAL

KLIA2 ‘rosak’ sana sini, jejas keselamatan operasi

AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Kerajaan Persekutuan perlu memandang serius soal keselamatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) yang berhadapan masalah mendapan tanah serta takungan air di landasan pelepasan dan mendarat.

Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin, berkata kos baik pulih kerosakan yang ditanggung Malaysia Airlines Holdings Berhad (MAHB) sudah mencecah RM76.5 juta sejak lapangan terbang itu dibuka pada Mei 2014.

Katanya, kos pembaikan itu adalah sangat tinggi iaitu 1/3 daripada kos keseluruhan pembinaan terminal RM231 juta.

HANIPA MAIDIN“Sebelum ini, berlaku lebihan kos pembinaan KLIA2 daripada RM2 bilion menjadi RM4 bilion. Kini MAHB pula disaman Air Asia.

“Mungkin ada tambahan lagi, kita tidak tahu. Isunya bagaimana boleh berlakunya kos begitu banyak?” katanya dalam sidang media di Lobi Parlimen, hari ini.

Berdasarkan jawapan bertulis Kementerian Pengangkutan, Jawatankuasa Bebas Keselamatan KLIA2 ditubuhkan pada Januari lalu untuk mengaudit dan meneliti masalah mendapan di parkir apron, takungan air serta retakan di bangunan terminal yang mempunyai implikasi keselamatan.

Satu pasukan khas untuk melaksanakan audit ke atas pembinaan dan kemajuan KLIA2 juga ditubuhkan pada Ogos lalu.

Laporan terperinci mengenainya dijangka siap enam bulan selepas tarikh audit bermula.

-nR-

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pasangan OKU Dinafi Hak Terima BR1M 2.0

OKU BR1M borhan 30 apr 01

DENGKIL 1 MEI : Pasangan Orang Kelainan Upaya (OKU) cacat penglihatan dari Jenderam Hulu dekat sini tidak menerima bantuan BR1M 2.0 bernilai RM500 sepertimana dijanjikan kerajaan Umno-BN.

Menurut Kamal Abdullah, 44, berkata mereka mendapat bantuan BR1M 1.0 dan itu mengesahkan kelayakan untuk menerima bantuan sama buat kali kedua.

Beliau mendakwa, rujukan dibuat kepada Ahli Parlimen Sepang, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed, mendapati kuota pemberian automatik kepada golongan OKU seperti mereka telah dihapuskan.

“Saya dimaklumkan kami akan diberi BR1M 2.0 secara automatik tetapi sebaliknya yang berlaku.

“Sedang BR1M 1.0 diadakan dengan majlis khas melibatkan kehadiran lebih 100 orang OKU pada Oktober tahun lalu.

“Saya rasa wujud diskriminasi dalam perkara ini,” katanya yang menyara keluarga dengan bekerja kampung.

Kamal dan isteri, Noraini Salleh, 35, sudah melaporkan perkara itu kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor, Persatuan Orang-Orang Buta Malaysia dan Pertubuhan Pembangunan Orang-Orang Buta Malaysia.

Calon PR DUN Dengkil, Borhan Aman Shah berkata, pihak yang dilantik bagi pemberian BR1M 2.0 perlu bersikap adil tanpa diskriminasi.

Beliau berkata, kerajaan Umno-BN perlu melihat perkara itu secara teliti supaya tiada salah faham.

“Golongan OKU ini perlu dibantu, saya harap ketelusan dijadikan amalan dalam perkara ini.

“Jangan pula dibezakan antara penyokong dan bukan penyokong kerajaan. Itu tidak betul,” dakwanya.

Katanya, pemeriksaan mesti dilakukan sama ada golongan OKU perlu didaftarkan semula untuk menerima bantuan berkenaan.