Categories
NASIONAL

Mahfuz gelar Najib ‘Perdana Menteri 80 sen’

Oleh: HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 23 OKT: Pembentangan Bajet Persekutuan 2016 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilihat tidak cukup ‘solid’ membantu pemulihan nilai ringgit dan ekonomi negara.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, berkata tiada apa boleh diharapkan daripada bajet kali ini selain Menteri Kewangan itu meletakkann jawatan sebagai Perdana Menteri.

pc mahfuz“Saya tidak nampak belanjawan 2016 bantu lonjak ekonomi dan nilai ringgit melainkan Najib melepaskan jawatan minggu ini dan itu memberikan nafas baharu kepada nilai ringgit dan ekonomi,” katanya kepada media di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Beliau secara berseloroh berkata, Najib boleh dilabelkan sebagai ‘Perdana Menteri 80 sen’ ekoran pencapaiannya menjatuhkan nilai ringgit pada tahap ketika ini.

Katanya, sejak mengambilalih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2009 dan memegang potfolio Menteri Kewangan, nilai ringgit jatuh mengalami penurun ketara.

“Nilai ringgit ketika itu RM3.60 berbanding USD1 tetapi pagi ini RM4.24, (12 tengah hari) RM4.22 dan (2 petang) RM4.23.

“Bermakna pada 2009 hingga hari ini Najib berjaya menjatuhkan nilai ringgit hampir 80 sen maka itu dia layak jadi Perdana Menteri 80 sen,” katanya.

Beliau berkata, kesempitan hidup dihadapi rakyat masa kini akibat daripada Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), kenaikan harga minyak dan diikuti skandal 1Malaysian Development Berhad (1MDB) berpunca daripada kebobrokan Perdana Menteri sendiri.

Katanya, pebentangan belanjawan dibuat Najib tidak ‘mensejahterakan rakyat’ bahkan memberikan kesan kepada persekitaran ekonomi tidak menentu.

Dalam sidang Dewan Rakyat hari ini, Najib membentangkan belanjawan defisit dengan peruntukan RM267.2 bilion serta jangkaan hasil pendapatan RM225.7 bilion.

Biarpun menyasarkan peningkatan RM3.2 bilion namun defisit tercatat adalah tinggi iaitu kira-kira RM41.5 bilion.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.