Categories
NASIONAL

MB: Najib bentang ‘belanjawan gula-gula’ hadapi Pilihan Raya Sarawak

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 23 OKT: Sebahagian besar projek luar bandar di Sarawak diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam pembentangan Bajet Persekutuan 2016 dianggap sebagai ‘belanjawan gula-gula’ bagi menghadapi Pilihan Raya Sarawak.

Dato’ Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak), mengingatkan semua pihak supaya tidak terkeliru kerana sebahagian besar projek itu memerlukan inisiatif pihak swasta.

MB Azmin“Soal pembangunan luar bandar, kita harus berhati-hati. Jangan kita dikaburi kerana sebahagian besarnya masih lagi inisiatif swasta dan bukannya kerajaan persekutuan yang hari ini mempunyai kekangan dana.

“Cukup jelas, peruntukan luar bandar Sarawak ini untuk Pilihan Raya Negeri Sarawak,” katanya.

Mohamed Azmin kepada media di Lobi Parlimen selepas Najib yang juga Menteri Kewangan membentangkan Belanjawan 2016 di sini, hari ini.

Terdahulu, Najib ketika membentangkan Belanjawan 2016 mengumumkan agenda pembangunan di Sabah dan Sarawak seperti projek Lebuhraya Pan-Borneo dan pengecualian Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) untuk penerbangan kelas ekonomi laluan perkhidmatan luar bandar.

Najib turut memperkenalkan pinjaman membina rumah panjang, subsidi baja padi huma dan menyeragamkan barangan terpilih antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

Untuk rekod, nasib politik Najib dan Barisan Nasional (BN) ketika ini berada pada paras paling kritikal ekoran tercetusnya beberapa isu khususnya berhubung skandal 1MDB.

Bagaimanapun, Najib seperti mana pengakuan beberapa pemimpin utama Umno sebelum ini, menjadikan pengundi di Sabah dan Sarawak sebagai negeri ‘simpanan tetap’ untuk memanjangkan jangka hayat politik mereka.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.