Categories
SELANGOR

MB : Terserah kepada PAS untuk berbincang

Oleh : AFEEQA AFEERA

KLANG, 1 OKT : Dato’ Menteri Besar, Mohamad Azmin Ali menyerahkan kepada PAS untuk berbincang berkenaan pendirian mereka sama ada kekal atau tidak dalam Kerajaan Selangor.

Beliau berkata ia terserah kepada kepimpinan PAS Pusat untuk mengambil sebarang pendekatan dan berbincang sesama mereka.

MB AzminBagaimanapun, Mohamed Azmin berkata PKR akan tetap meneruskan perbincangan seperti yang dilakukan sebelum ini.

“Biarlah mereka (PAS) berbincang. Kita akan teruskan perbincangan, malah Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah sudah berulang kali mengeluarkan kenyataan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengiringi DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melawat kilang sarung tangan Top Glove di Meru, Klang, di sini.

Terdahulu, Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamed, berkata parti itu akan mempertimbangkan keputusan keluar daripada Selangor berikutan pembentukan Pakatan Harapan tanpa PAS.

Bagaimanapun, Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad menyifatkan kenyataan Mahfodz itu bersifat peribadi dan tidak mewakili parti.

Beliau juga menegaskan PAS akan terus kekal dalam kerajaan pimpinan menteri besar PKR itu, walaupun selepas Pakatan Harapan dibentuk.

-NR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.