Categories
SELANGOR

MB yakin tiada peruntukan tambahan Belanjawan 2016

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 30 OKT : Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali menegaskan tiada peruntukan tambahan dikemukakan dalam Belanjawan Selangor 2016.

Beliau berkata, langkah itu diambil ekoran Kerajaan Selangor yakin pengurusan ekonomi negeri dapat dilaksanakan dengan berhemah dan bertanggungjawab.

AZMIN DNS“Kita tidak mahu apa yang berlaku pada waktu lepas apabila perbincangan (belanjawan) dibuat secara berimbang, tetapi dalam setiap sesi dewan diminta belanjawan tambahan.

“Itu adalah sikap tidak bertanggungjawab kerana mengemukakan unjuran tidak tepat hingga menyebabkan keperluan belanjawan tambahan,” katanya dalam sidang media selepas membentangkan Belanjawan Selangor di Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Mengulas berkenaan belanjawan 2015 yang defisit sebelum ini, Mohamed Azmin berkata pihaknya hanya berlaku jujur kepada DNS dengan menyatakan peruntukan diperlukan untuk pembangunan negeri.

Bagaimanapun, katanya, peningkatan hasil meningkat sebanyak RM452.5 juta berjaya menjadikan belanjawan 2016 mencatat lebihan atau surplus.

“Selangor menjangkakan hasil ini terus meningkat sehingga hujung tahun dan berjaya menampung defisit bagi 2015.

“Dari segi unjuran kita sudah melihat keperluan pembangunan Selangor dan semua jabatan diminta supaya tidak memberikan kos operasi tinggi dan hanya tumpu soal pembangunan,” katanya.

Belanjawan Selangor 2016 memperuntukkan RM2.88 bilion dengan mengangkat tema ‘Membangun Smart Selangor Yang Peduli’.

Dengan nisbah 50:50 ,Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1.44 bilion untuk perbelanjaan mengurus, manakala RM1.44 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.

EZY/NR

Leave a Reply

Your email address will not be published.