Categories
SELANGOR

Selangor perlu kaji nisbah plot 1:8, pastikan rakyat selesa

Oleh : AFEEQA AFEERA

SUBANG JAYA, 18 OKT : Pemimpin DAP Selangor mencadangkan agar Kerajaan Negeri mengkaji semula cadangan menaikkan nisbah plot dan kepadatan di Puchong dan Subang Jaya dalam pelan Pembangunan Berorientasi Transit (TOD).

Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo, berkata fokus harus diberikan kepada penyelesaian kesesakan lalu lintas di kedua-dua kawasan sebelum isu nisbah plot dibangkitkan.

Katanya cadangan meningkatkan pembangunan juga tidak boleh dilaksanakan buat masa ini dan dibantah penduduk setempat.

Projek-mrt-300x202“Idea meningkat nisbah plot bukan sesuatu yang baru, tetapi Puchong tidak bersedia untuk jenis pembangunan itu disebabkan masalah lalu lintas yang serius.

“Saya faham kita sedang bergerak ke era memiliki sistem Transit Aliran Massa (MRT) dan Transit Aliran Ringan (LRT), tetapi isu peningkatan nisbah plot itu masih terlalu awal untuk difikirkan.

“Kerajaan Negeri perlu menyelesaikan masalah trafik dulu kerana keberkesan LRT dan MRT masih belum terbukti untuk menyuraikan lalu lintas,” katanya dalam sidang media hari ini.

Terdahulu, Jawatankuasa Jabatan Perancang Negeri meluluskan garis panduan yang membolehkan TOD dilaksanakan dalam lingkungan 400 meter daripada stesen LRT dan MRT.

Jawatankuasa itu turut meluluskan peningkatan nisbah plot kepada 1:8 berbanding sebelumnya iaitu 1:4.

Sementara itu, Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh, berkata peningkatan kemudahan pengangkutan awam tidak boleh dijadikan alasan untuk meningkatkan nisbah plot.

Beliau berkata pihaknya tidak pernah menentang pembangunan TOD, namun ia mesti menepati sasaran yang betul memandangkan ia menyebabkan kos hartanah semakin meningkat.

“Bas Rapid Transit (BRT) adalah contoh yang perlu dilihat jawatankuasa perancang kerana tidak berjaya mengurangkan kesesakan dan kurang mendapat sambutan disebabkan harga tambang yang mahal.

“Jawatankuasa tidak boleh menganggap apabila kemudahan awam ditingkatkan, maka nisbah plot juga boleh dinaikkan, justeru saya berpendapat Kerajaan Negeri perlu perjelaskan kepada Adun terlibat.

“Sehingga LRT atau MRT terbukti dapat mengurangkan kesesakan, kita tidak benarkan nisbah plot dinaikkan,” katanya.

Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) bercadang untuk melaksanakan pelan TOD dengan meningkatkan nisbah plot kepada 1:8 berdasarkan garis panduan baru.

Bagaimanapun cadangan itu dibantah penduduk setempat kerana ia akan menyebabkan masalah lalu lintas yang lebih kritikal.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.