Categories
SELANGOR

Selangor jalin kerjasama Nestle pacu pelaburan jangka panjang

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 30 OKT: Kerajaan Negeri bekerjasama dengan Nestlè Manufacturing bagi merealisasikan pelaburan jangka panjang di Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata hal itu kerana Selangor mencatatkan 130 projek pelaburan termasuk non-metallic mineral products mencatatkan pelaburan RM732.6 juta sehingga Jun 2015.

Katanya, manakala ia diikuti dengan kertas, percetakan dan penerbitan dengan nilai pelaburan RM617.2 juta serta pembuatan makanan bernilai RM468 juta.

Belanjawan 2016 NESTLE“Nestlè Manufacturing, syarikat multinasional berpangkalan di Switzerland dan bertapak di Selangor sejak 1962. Ketika ini kilang Nestlè di Shah Alam mempunyai kira-kira 2,000 pekerja manakala 700 pekerja di kilang mereka di Petaling Jaya.

“Syarikat Nestlè Manufacturing di Seksyen 15 Shah Alam kini diperbesarkan lagi dengan tambahan pelaburan RM288 juta bagi 2014 dan 2015 di atas tanah seluas kira-kira 13 ekar bagi pengeluaran produk makanan dan minuman dengan konsep pembungkusan terbaru di pasaran dan memberi peluang pekerjaan bagi tenaga mahir kira-kira seramai 166,” katanya dalam pembentangan Belanjawan 2016, di DNS, hari ini.

Selain itu, Mohamed Azmin berkata Kerajaan Negeri bertekad untuk melahirkan 10,000 ‘knowledge workers’ setahun dan mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing tidak mahir.

Katanya, usaha itu boleh dicapai kerana Selangor mempunyai lebih daripada 140 kolej dan universiti di samping 30 sekolah antarabangsa.

“Inisiatif itu sebagai usaha untuk menarik pelabur ke Selangor kerana Selangor mempunyai potensi besar untuk memainkan peranan dinamik di peringkat serantau.

“Dengan penduduk melebihi 5.8 juta, negeri ini mempunyai 2.9 juta tenaga kerja dengan purata 98.7 peratus daripada mereka melalui sistem pendidikan asas dan menguasai lebih satu bahasa.

“Smart Selangor tidak boleh bergantung kepada tenaga buruh tidak mahir. Statistik menunjukkan 37 peratus daripada 14 juta pekerja di Malaysia buruh asing. Daripada jumlah itu, 97 peratus pekerja tidak mahir,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.