Categories
SELANGOR

95 Usahawan desa dapat peralatan mula niaga RM8,000

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KUALA KUBU BAHRU, 19 NOV: Seramai 95 peserta kursus Program Industri Komuniti Kampung Jangka Sederhana 2015 akan menerima peralatan memulakan perniagaan bernilai RM8,000 setiap seorang selepas menamatkan kursus.

Exco Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata peruntukan itu merupakan sebahagian daripada RM793,300 yang dibelanjakan Kerajaan Negeri untuk membiayai keseluruhan program ini.

YUNUS HAIRI“Kerajaan Negeri membelanjakan kira-kira RM8,000 untuk setiap perserta untuk membeli peralatan memulakan perniagaan seperti gerai dan mesin bergantung kepada perniagaan diceburi.

“Ini termasuk juga RM1,000 untuk modal permulaan dan belanja promosi di awal perniagaan. Saya lihat respon cukup positif apabila ramai peserta yang begitu bersemangat nak memulakan perniagaan,” katanya.

Yunus berkata demikian selepas merasmikan Program Industri Komuniti Kampung Jangka Sederhana 2015 di Institut Teknologi Kulinari Anjung Utara (ITKAU) di Kampung Gesir Tengah, di sini, semalam.

Jelas, Dr Ahmad Yunus, program ini diadakan bagi membantu bakal usahawan desa berminat menjadikan usahawan sebagai bidang kerjaya sepenuh masa tetapi tidak mempunyai modal secukupnya.

INDUSTRI KOMUNITITerdahulu, seramai 30 bakal usahawan menerima sijil masing-masing selepas menamatkan kursus melibatkan perniagaan makanan dan minuman secara jajaan atau kios.

Kerajaan Negeri turut mengadakan kursus kepada bakal usahawan yang berminat menceburi perniagaan di bidang kemahiran dan juruterapi komplimentari berdaftar, bidan kampung stimulatherapy dan terapi kesihatan lelaki.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.