Categories
SELANGOR

Air percuma: Selangor belanja RM170 juta, tapi ada pihak salah guna

Oleh: NAZLI IBRAHIM

AMPANG, 9 NOV: Kerajaan Negeri sedang mengkaji satu mekanisme bagi memastikan 20 meter padu air percuma yang diberikan sejak 2008 menepati sasaran penggunaannya.

Dato’ Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali, berkata hal ini berikutan terdapat sesetengah pihak menggunakan air terawat secara tidak berhemah sekali gus memberi kesan besar kepada Selangor.

mb parlimen mark short“Masih terdapat pihak gunakan air terawat untuk menyiram pokok dan membasuh kenderaan sedangkan ia boleh dilakukan dengan menggunakan air hujan.

“Mungkin kita akan gunakan dasar baru, operator mencuci kereta di MPAJ dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) lain harus guna air hujan bagi menjimatkan air. Ini sebahagian langkah yang sedang kita fikirkan dan pengurusan baru akan bertegas,” katanya.

Mohamed Azmin berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyerahan Pembekalan Tong Sampah Percuma Kepada PBT di Selangor di Menara Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di sini, hari ini.

Katanya, Kerajaan Negeri sudah membelanjakan RM170 juta untuk memberikan air percuma dan peruntukan besar seumpama itu harus dimanfaat sebaiknya.

Justeru, Mohamed Azmin mengingatkan penduduk di Selangor supaya lebih cermat bagi memastikan kelangsungan bekalan air terawat Selangor sentiasa pada paras memuaskan.

air pahang“Selangor sekali lagi mencatatkan rekod dunia apabila menggunakan air sebanyak 235 liter seorang sehari. (Adakah) orang Selangor mandi sehari 10 kali?

“Cermat dan bertanggungjawablah guna air terawat kerana membasuh kereta, menyiram pokok dan kolam renang guna air terawat sebenarnya tidak mendatangkan kebaikan jangka panjang,” katanya.

Selain pembaziran penggunaan air, Selangor turut berhadapan dengan isu peratusan air tidak berhasil (NRW) tertinggi dirantau ini iaitu sebanyak 34 peratus sehingga menyebabkan Selangor menanggung kerugian jutaan ringgit setiap tahun.

“Kita sudah rancang strategi pelan perniagaan bagi memastikan Air Selangor dapat menguruskan industri ini lebih cekap dan efisyen, mesra rakyat dengan melibatkan pelaburan yang agak besar untuk menurunkan NRW dan juga kesedaran awam untuk tidak membazir,” katanya.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.