Categories
SELANGOR

Cemar Sungai Semenyih, lesen perniagaan kilang dibatal

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 4 NOV: Kerajaan Negeri bertindak tegas terhadap sebuah kilang yang mengakibatkan pencemaran Sungai Semenyih dengan membatalkan lesen perniagaannya, pada 14 April lalu.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong, berkata tindakan diambil kerana kilang terbabit menimbulkan masalah kepada operasi logi dan pengguna.

Elizabeth Sidang DUN 02 jul 01“Siasatan penguatkuasaan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor mendapati kilang di Lembangan Sungai Langat di kawasan Perindustrian Sungai Purun mencemarkan kualiti airnya dan menyebabkan henti tugas operasi loji rawatan air seterusnya gangguan bekalan air kepada pengguna.

“Tindakan menahan kelengkapan kilang dibuat bagi menghentikan operasinya dalam tempoh dua minggu mulai 1 April seterusnya Majlis Perbandaran Kajang membatalkan lesen perniagaannya, pada 14 April lalu,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan Datuk Johan Abdul Aziz (BN-Semenyih) berhubung perkara berkenaan.

Katanya, pencemaran kualiti air Sungai Semenyih juga berpunca daripada aktiviti lain seperti pembuangan sampah sarap, aktiviti kerja tanah, pelepasan kumbahan, aktiviti perniagaan dan komersial, bengkel, restoran pasar basah,perlombongan pasir dan penternakan.

Sungai Langat“Program pemantauan dan penguatkuasaan terhadap pencemaran di sungai dilaksanakan secara konsep Pengurusan Bersepadu Lembangan Sungai (IRBM) di Lembangan Sungai Selangor, Lembangan Sungai Langat dan Lembangan Sungai Kelang dibuat agensi seperti Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), pihak berkuasa tempatan (PBT), JAS Selangor, Jabatan Pengairan dan Saliran, Pejabat Tanah, Jabatan Mineral dan Geosains serta Jabatan Veterinar.

“Fokus diberi kepada melindungi sumber bekalan air dan Loji Rawatan Air yang sering menerima kesan akibat pencemaran pelbagai sumber seperti industri, tapak pelupusan sampah, dan kerja tanah pelepasan kumbahan,” katanya.

Wong berkata, selain itu usaha penjagaan dan pemuliharaan sumber air dipantau serta dikuatkuasakan melalui jawatankuasa ditubuhkan seperti Jawatankuasa Pengurusan Lembangan Sungai, Pasukan Petugas Lembangan Sungai serta Jawatankuasa Kecemasan Pencemaran Sumber Air.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.