Categories
NASIONAL

Gambar bukan bukti pemimpin cenderung pihak lawan

Oleh : AFEEQA AFEERA

KUALA LUMPUR, 19 NOV : Tindakan bergambar dengan pihak lawan tidak membuktikan seseorang pemimpin itu cenderung memihak kepada lawannya, kata Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

Beliau berkata demikian sebagai respon kepada gambar Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar bersama Puteri Sultan Sulu, Puteri Jacel Kiram yang viral di media sosial hari ini.

Teresa berkata, beliau juga sering bergambar dengan pihak tidak dikenali dan pemimpin Barisan Nasional (BN) meskipun sering bertelingkah dalam Dewan Rakyat.

Teresa-Kok“Perkara itu perlu ditanya kepada Nurul Izzah kerana beliau lebih tahu situasi sebenar, tetapi saya tidak terkejut dalam majlis sosial kita berjumpa ramai orang dan ambil gambar.

“Tidak semestinya kita menyokong tindakan mereka,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Pendapat sama turut dikongsi Ahli Parlimen Sandakan, Stephen Wong Tien Fatt yang mengatakan tiada salah bagi sesiapa membina hubungan dengan kerabat bekas Sultan Sulu itu.

Walaupun beliau mengakui rakyat masih terganggu dengan insiden pencerobohan di Lahad Datu pada 2013, namun Jacel Kiram tidak harus dipersalahkan atas tindakan ayahnya.

IZZAH JACEL“Saya fikir Nurul Izzah mempunyai hak peribadi untuk membina hubungan dengan beliau kerana tidak semestinya apabila bapanya melakukan kesalahan, anak perempuannya akan ikut sama,” katanya.

Kesultanan Sulu menjadi sensitif kepada negara ini selepas peristiwa berdarah melihatkan pencerobohan bersenjata kumpulan dari Selatan Filipina di Lahad Datu pada 2013 yang mengorbankan beberapa anggota keselamatan negara.

Bagaimanapun usaha media untuk mendapatkan reaksi daripada Nurul Izzah masih belum membuahkan hasil kerana beliau tidak kelihatan pada sesi Dewan Rakyat hari ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published.