Categories
SELANGOR

Dr Manuty, Chandra Mohan dilantik Senator Dewan Negara

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 13 NOV: Pengerusi KEADILAN Perak, Dr Muhammad Nur Manuty dan bekas Timbalan Pengerusi DAP Selangor, T Chandra Mohan dilantik sebagai Ahli Dewan Negara mewakili negeri itu bagi tempoh tiga tahun.

Pencalonan Muhammad Nur dicadangkan Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, manakala Chandara Mohan dicadangkan Exco Negeri, Datuk Teng Chang Khim.

Pelantikan dari Dewan Negeri Selangor (DNS) itu adalah kali pertama buat Muhammad Nur dan kedua untuk Chandra Mohan.

Berpengalaman luas dalam politik, Muhammad Nur adalah pemegang Sarjana Muda dalam Usuludin dan Falsafah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Sarjana Pengajian Agama serta Doktor Falsafah Permikiran Islam dan Perbandingan Agama dari Universiti Temple, Philadelphia, Amerika Syarikat.

Nur-ManutyBeliau pernah berkhidmat sebagai pengajar Jabatan Arab dan Tamadun Islam di UKM dari 1974 hingga 1978, pensyarah kanan Markas Ilmu Teras Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sejak 1978 hingga 1983.

Beliau aktif di dalam KEADILAN sebagai pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama parti itu.

Sebelum itu, pada April 2009, beliau memegang jawatan pimpinan biro kanan selaku Anggota (Jemputan) Biro Politik.

Sebelum memasuki KEADILAN, beliau pernah terlibat di dalam Umno tetapi keluar berikutan isu pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau juga adalah bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Sementara itu, Chandra Mohan, pemegang Ijazah Sarjana Sains (Pengurusan Sumber Manusia) Universiti Western City, Australia adalah aktivis hak pekerja berpengalaman lebih 30 tahun.

Beliau pernah berkhidmat sebagai Pegawai Perhubungan Kesatuan Pekerja Pengangkutan (Transport Workers Union) dari 1977 hingga 1995.

Selain itu, Chandar Mohan pernah menjadi Ahli Jawatankuasa (AJK) dalam Perbadanan Sumber Manusia Berhad (PSMB) sebuah agensi Kementerian Sumber Manusia selama lima tahun.

Terdahulu, beliau adalah Ahli Majlis Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan kini berkhidmat sebagai pensyarah sambilan di sebuah universiti swasta di Selangor.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.