Categories
SELANGOR

Hasil padi Selangor 6.4 tan setahun atasi purata hasil kebangsaan

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 20 NOV: Hasil pengeluaran padi di jelapang Sungai Burung mencatatkan peningkatan musim ini dengan catatan 10.52 tan bagi satu lot.

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abd Talib, berkata ia merupakan peningkatan sekitar satu tan berbanding musim lepas.

Katanya, lebih membanggakan purata hasil pengeluaran padi Selangor juga konsisten dan mengatasi purata hasil padi kebangsaan.

ZAIDY“Selangor mencatatkan pengeluaran tertinggi dengan 6.4 tan setahun berbanding purata pengeluaran hasil kebangsaan 4.4 tan sahaja.

“Tahniah juga buat Jabatan Pertanian Daerah Kuala Selangor atas kejayaan daerah paling tinggi menerima pensijilan MyGAP bagi tahun 2015,” ucapnya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Kesyukuran Penuaian Padi Musim 2/2015 Daerah Kuala Selangor di Balai Raya Blok P1, Sungai Burung di sini, hari ini.

Hadir sama Pegawai Pertanian Daerah Kuala Selangor, Mohamad Izwan Hasan dan Penyelaras DUN Sungai Burung, Misran Serman.

Zaidy berkata, Selangor juga berada di kedudukan teratas dalam program Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) dengan sumbangan 42.7 peratus atau RM32 juta daripada jumlah keseluruhan.

Katanya, ia adalah hasil usaha keras petani di samping penggunaan teknologi moden serta bimbingan jabatan berkaitan.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.