Oleh: AFIX REDZUAN
BATANG BERJUNTAI, 21 NOV: Selangor perlu menjadi pemangkin dalam memberikan ruang pendidikan kepada Orang Kelainan Upaya (OKU) dengan memperuntukkan dana secukupnya.
Nurul Nuha Anwar, berkata Kerajaan Negeri juga perlu memberikan sokongan dan infrastruktur bagi memudahkan OKU berinteraksi dengan masyarakat.
“Kelainan upaya bermaksud menghapuskan setiap halangan yang ada di sekeliling supaya mampu menampilkan potensi diri sebenar yang sedia ada dikurniakan Ilahi untuk setiap diri manusia.
“Dengan mewujudkan persekitaran yang bebas daripada halangan. Rakan OKU saya mampu melakukan sesuatu kerja,” katanya yang mewakili Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam program Empowerment Disabled anjuran Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial, di Universiti Selangor (UNISEL), di sini, hari in.
Nuha berkata, beliau sangat mengagumi ketabahan OKU hingga mampu mengecapi kejayaan seperti yang dilakukan hari ini.
“Kita semua mempunyai cabaran yang hebat dalam kehidupan, namun anda adalah insan terpilih hanya kerana Allah SWT ingin memberitahu bahawa anda lebih kuat daripada kami,” katanya.
Sementara itu, Editor buku Mengupayakan Orang Kelainan Upaya Di Selangor, Noor Hairina Noor Hisham, 23, berkata, mereka memberikan fokus kepada usaha mengubah persepsi masyarakat kepada OKU dalam program itu.
“Buku ini, kita ketengahkan hak OKU selain dasar di Malaysia, Selangor serta luar negara. Kita juga sediakan informasi pusat terapi OKU untuk keluarga mendaftar di Selangor.
“Buku itu turut memuatkan beberapa kisah inspirasi kejayaan golongan OKU,” katanya.
Hairini yang juga Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial UNISEL, berkata kemudahan OKU di Malaysia bersifat kurang mesra dan perlu ditambah baik, bahkan masyarakat tidak seharusnya memandang sinis kerana mereka juga berhak mendapat peluang sama rata seperti insan sempurna.
Dalam Belanjawan Selangor 2016, Kerajaan Negeri memberikan peruntukan khusus hampir RM770,000 kepada golongan OKU melalui inisiatif Didik Smart Selangor.
-NFN-