Oleh: NORHAYATI UMOR
SHAH ALAM, 21 NOV: Belanjawan Selangor 2016 yang dibentangkan Oktober lalu disifatkan peneraju kepada negeri lain, bahkan intipatinya diikuti Bajet Johor 2016 yang baru sahaja dibentangkan, Menteri Besarnya, Datuk Khalid Nordin.
Speaker Dewan Negeri Selangor, Hannah Yeoh, berkata Selangor sentiasa mengetuai negeri lain dalam aspek utama pelbagai perkara.
“Selangor sentiasa mengetuai pelbagai perkara. Ada baiknya sistem dua parti. Bila ada pertandingan sihat, baru rakyat akan dapat yang terbaik,” katanya kepada Selangor Kini, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Hannah berkata perlaksanaan belanjawan di setiap negeri perlu dipantau supaya intipatinya dapat dilaksanakan.
Bajet Johor 2016 mengandungi enam strategi utama iaitu mengutamakan kesejahteraan rakyat, merancakkan pertumbuhan ekonomi Johor, menangani peningkatan kos sara hidup, merancakkan keusahawanan Johor berasaskan inovasi & pengetahuan, mengangkat agenda Johor lestari serta meneruskan agenda pendidikan berkualiti & pembangunan swadaya insan.
Majoriti strategi ada di dalam Belanjawan Selangor 2016 terutama memacu kehidupan rakyat dalam menangani krisis kelembapan ekonomi dan kenaikan harga barangan terutama sejak pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), pada 1 April lalu.
Sementara itu, Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar Samad, berkata Belanjawan Selangor yang memandang jauh ke hadapan sememangnya perlu diikuti negeri lain.
Katanya, Selangor mempunyai tanggungjawab untuk memberi inspirasi dan dorongan kepada negeri lain sebagai negeri maju serta sentiasa berada di hadapan.
“Apa yang dilakukan oleh Selangor perlu dicontohi negeri lain. Ia perlu diikuti supaya semua negeri dapat melaksanakan program baru untuk membantu dan membela nasib rakyat.
“Ia menunjukkan jalan yang seharusnya dilalui negeri lain,” katanya.
Exco Pelaburan, Perindustrian IKS, Perdangangan dan Pengangkutan, Datuk Teng Chang Khim, pula berkata persamaan intipati beberapa teras Bajet Johor 2016 itu membuktikan Selangor berjaya menjadi teladan.
“Bahkan, apa yang terkandung di dalamnya menjadi model kepada kerajaan negeri lain termasuk Johor,” katanya.
-NFN-