Categories
KENYATAAN MEDIA

Jangan berlakon, hentikan pendakwaan dan siasatan bermotif politik

Human Rights Watch dalam laporan khasnya berkenaan penafian hak asasi di Malaysia telah menggariskan siri pendakwaan dan siasatan terhadap kumpulan pengkritik kerajaan, termasuk dari kalangan masyarakat sivil dan parti politik.

Ini disifatkan HRW sebagai siri tindakan balas dendam oleh sebuah pentadbiran yang rapuh, dalam rangka untuk cuba membungkam bantahan dan kritikan yang disuarakan ramai pihak.

Selain siri siasatan dan pendakwaan terpilih yang semakin rancak dilakukan pihak berkuasa akhir-akhir ini, Suaram bersama-sama Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) melihat satu trend tindakan mensasarkan pemimpin-pemimpin politik tertentu terus dijalankan.

Tindakan sedemikian secara efektif bertujuan membunuh lawan-lawan politik dan juga bakal-bakal calon pilihanraya akan datang, selain merupakan sebuah upaya penindasan politik bagi menafikan hak membantah sepertimana yang dituntut dalam perhimpunan Bersih 4.

Akta HasutanSenarai panjang Ahli Parlimen dan ADUN yang telah disiasat malah ada yang telah didakwa di bawah pelbagai akta termasuklah: Dr Ko Chung Sen (Kampar), Nga Kor Ming (Taiping), Rafizi Ramli (Pandan), Dr Afif Bahardin (Adun Sebarang Jaya), Ng Wei Aik (Tanjung), Nurul Izzah (Lembah Pantai), Tony Pua (PJ Utara), Lim Kit Siang (Gelang Patah), R Sivarasa (Subang), Teresa Kok (Seputeh), N. Surendran (Padang Serai), Khalid Samad (Shah Alam), RSN Rayer (Adun Seri Delima), Dr P. Ramasamy (Timb. Ketua Menteri Pulau Pinang), Phee Boon Poh (Adun Sungai Puyu), Tian Chua (Batu), Azmin Ali (Gombak), Nik Nazmi Nik Ahmad (Adun Seri Setia) dan juga mendiang Karpal Singh.

Kesemua mereka ini telah sama ada disiasat atau telah didakwa di bawah Akta Hasutan atau Akta Perhimpunan Aman, dan sekiranya didapati bersalah akan menyebabkan mereka hilang kelayakan bertanding dalam pilihanraya akan datang serta menafikan hak para pengundi untuk memilih wakil rakyat yang mereka suka.

Ironinya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah berkali-kali berjanji untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948, namun ia terus digunakan terhadap lawan-lawan politiknya.

BERSIH 2.0 dan Suaram melihat ini sebagai satu taktik keji untuk mencantas lawan-lawan politik parti pemerintah, sekaligus membelakangkan proses demokrasi yang telah melantik mereka sebagai wakil rakyat di dewan legislatif masing-masing.

Daripada menewaskan mereka di lapangan pilihanraya, proses undang-undang nampaknya disalahgunakan bagi memastikan mereka tewas sebelum sempat bertanding dalam pilihanraya.

BERSIH 2.0 dan Suaram justeru menyatakan kebimbangan bahawa langkah-langkah licik yang diambil pihak kerajaan akan mengakibatkan negara mempunyai barisan pembangkang yang lemah, setelah tokoh-tokoh utama disumbat ke penjara atau hilang kelayakan bertanding.

Menjelang sidang-sidang kemuncak rantau ASEAN dan kunjungan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama di tanah air, kami menggesa kerajaan untuk segera menggugurkan siasatan dan pertuduhan bermotifkan politik terhadap aktivis masyarakat dan juga ahli-ahli politik pembangkang, sebagai bukti bahawa negara benar-benar mengamalkan demokrasi yang sebenar.

Kerajaan tidak wajar berlakon seolah-olah negara mengamalkan demokrasi di hadapan para tetamu antarabangsa, namun sebaliknya dalam diam menanam ranjau dalam amalan demokrasi sihat di tanah air.

Kerajaan justeru didesak supaya menghentikan langkah menindas menggunakan undang-undang ini, dan menumpukan secara ikhlas kepada penambahbaikan institusi demi kebaikan rakyat terbanyak.

Leave a Reply

Your email address will not be published.