Categories
SELANGOR

Terima 230 permohonan pembangunan hingga 20 Oktober

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 12 NOV: Kerajaan Negeri menerima 230 permohonan daripada pelbagai pihak sehingga 20 Oktober lalu sejak Akta Kebebasan Maklumat diwujudkan pada 2011.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong Keat Ping, berkata hanya lapan permohonan ditolak atau tidak diluluskan daripada jumlah itu.

“Ini kerana permohonan dikemukakan kepada jabatan atau agensi diklasifikasikan sebagai bersifat peribadi dan tidak memberi manfaat serta kesejahteraan rakyat di Selangor.

Elizzabeth Wong“Terdapat juga yang tidak lengkap dan gagal menjelaskan tujuan sebenar, mengandungi maklumat pihak ketiga dan tidak spesifik juga mengelirukan,” katanya menjawab pertanyaan lisan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (KEADILAN-Kajang) di sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Beliau berkata, permohonan diluluskan antaranya adalah berhubung perancangan dan status projek pembangunan seperti pembinaan lebuh raya, penebatan banjir, bangunan sekolah, dan masjid.

Katanya, ia juga membabitkan laporan kewangan tahunan anak syarikat dan badan berkanun Kerajaan Negeri.

“Kerajaan Negeri menerima permohonan untuk mendapatkan maklumat status pembangunan tanah di mukim dan daerah termasuk urusan penstrukturan semula air, perlantikan ahli enakmen selain senarai penjaja serta usahawan kecil menjalankan operasi di sesuatu kawasan.

“Maklumat lain yang ingin diperoleh ialah statistik kemudahan pengangkutan awam, penjenamaan semula kemudahan perpustakaan awam, pengurusan sisa pepejal pihak berkuasa tempatan, maklumat sumber air iaitu sungai dan empangan serta navigasi jalan air pendalaman,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.