Categories
SELANGOR

Jumlah mangsa banjir meningkat

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 25 NOV: Seramai 618 mangsa banjir daripada 132 keluarga masih ditempatkan di tujuh pusat pemindahan, setakat jam 8 pagi ini.

Pegawai Daerah Kuala Selangor, Shamsul Shahril Badlisza Mohd Noor, berkata jumlah itu meningkat daripada 587 mangsa dan 124 keluarga semalam.

Katanya, peningkatan itu disebabkan limpahan air Sungai Selangor sekitar Kampung Asahan ekoran taburan hujan di hulu sungai iaitu di daerah Hulu Selangor.

DAROYAH BANJIR“Di Kuala Selangor ini memang tiada hujan yang banyak, jadi air dari hulu mengalir dan melimpah ke sini.

“Kita sedang mengepam kembali air masuk ke dalam sungai sejak semalam dengan menggunakan tiga pam,” katanya kepada Selangor Kini.

Beliau berkata, pusat pemindahan Balai Raya Kampung Asahan mencatatkan penambahan mangsa dengan 41 dari sepuluh keluarga berbanding hanya 11 mangsa daripada dua keluarga, semalam.

Sementara itu, Sekolah Kebangsaan Parit Mahang masih kekal menempatkan paling ramai mangsa dengan 388 dari 72 keluarga dan Surau Ladang Tuan Mee pula menempatkan 29 mangsa dari sembilan keluarga.

Pusat pemindahan lain, Masjid Simpang Tiga Jeram juga kekal menempatkan 29 dari tujuh keluarga dan Balai Raya Kampung Bukit Kuching menempatkan 61 mangsa dari 11 keluarga.

Pada masa sama, terdapat 35 mangsa dari 14 keluarga di Balai Raya Kampung Bukit Cherakah dan 34 mangsa melibatkan sembilan keluarga di Balai Raya Kampung Bukit Hijau.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.