Categories
SELANGOR

Kontraktor ‘tangkap muat’ tapak niaga terbengkalai

Oleh : AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 20 NOV: Persatuan Peniaga Pasar Seksyen 6, di sini mempertikaikan kreadibiliti kontraktor baik pulih tapak perniagaan daging dan ayam yang kini terbengkalai hampir dua bulan.

Pengerusinya, Kapten Ismail Khan Kamarudin, berkata kelewatan itu mengakibatkan peniaga terpaksa beroperasi di luar kawasan pasar hingga menimbulkan persekitaran kurang selesa kepada pengguna.

Ismail Khan“Kontraktor dipilih tidak menunjukkan prestasi baik. Kita beranggapan kontraktor ini ‘tangkap muat’ memandangkan kita sendiri tidak tahu kewibawaan mereka.

“Dijangkakan siap selama dua bulan dari 3 September namun sudah hampir penghujung November kerja tidak selesai lagi.

“Kita lihat baik pulih ini sedikit sahaja tanpa melibatkan pemecahan blok kedai,” katanya.

Tinjauan Selangor Kini mendapati kerja baik pulih melibatkan pertukaran jubin dinding, pemasangan jeriji besi untuk lampu.

PASAR SEKSYEN 6Difahamkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sudah turun melihat perkembangan projek, namun kelibat pekerja bertanggungjawab tidak kelihatan bagi menyegerakan penyiapan baik pulih berkenaan.

Katanya, pengubahsuaian dibuat tidak mesra perniagaan walaupun kos diperuntukkan hampir mencecah RM700,000.

Walaupun aduan sudah dibuat, namun jawapan yang diterima sekadar mengambil maklum dan tindakan akan diambil.

“Penyelesaian segera penting demi keselesaan pelanggan. Ia melambangkan imej perniagaan, jika bau busuk dan keadaan tidak selesa wujud, ia boleh menjejaskan peniaga,” ujarnya.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.