Categories
SELANGOR

Taburan hujan luar biasa, penduduk kawasan rendah perlu waspada

Oleh : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 20 NOV: Penduduk di sekitar negeri khususnya kawasan rendah dinasihatkan supaya berwaspada dan bersedia menghadapi kemungkinan berlaku banjir berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini.

Exco Infrastruktur Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib, berkata ketika ini taburan hujan dilaporkan luar biasa sehingga penghujung tahun ini sekali gus boleh menyebabkan beberapa kawasan rendah ditenggelami air.

zaidy“Kita jangka hujan akan lebih kerap turun dan berlarutan beberapa hari, jadi kita ingatkan penduduk di kawasan rendah termasuk berhampiran empangan dan sungai supaya berhati-hati dengan kenaikan paras air.

“Berdasarkan maklumat dari Jabatan Meterologi, taburan hujan di Selangor pada tahun ini luar biasa berbanding tahun lalu,” katanya kepada pemberita.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul memaklumkan setakat jam 8 pagi tadi, jumlah mangsa keseluruhan di negeri ini adalah seramai 990 mangsa membabitkan 219 keluarga dan tujuh pusat pemindahan dibuka.

“Ia membabitkan Kuala Selangor seramai 963 mangsa dari 215 keluarga dipindahkan ke lima pusat pemindahan.

“Manakala Klang seramai 20 mangsa (tiga keluarga) dan satu pusat pemindahan serta Petaling tujuh mangsa dari satu keluarga dipindahkan ke satu pusat pemindahan,” katanya.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Pengairan Saliran (JPS) Selangor, Hashim Osman, berkata,pihaknya dalam usaha mengepam air di kawasan Parit Mahang, Kuala Selangor berikutan banjir yang melanda kawasan itu sejak Selasa lepas.

HASHIM JPSBeliau berkata, pihaknya telah menghantar empat buah pam ke lokasi ditenggelami air bagi melakukan kerja pengepaman air banjir ke sistem pengairan berdekatan.

“Setakat ini operasi berjalan lancar dan empat pam yang digunakan akan mengepam keluar air ke sistem pengairan supaya paras air banjir surut dan penduduk dapat pulang ke rumah masing-masing,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.