Categories
SELANGOR

KPJ dan MPKJ anjur Sunathon

KAJANG 22 NOV: Hospital Pakar KPJ Kajang dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) dan Ahli Majlis Zon 8 telah menganjurkan program Amal Mutiara Sunathon 2015 bertempat di Surau Saujana Impian, Kajang.

Seramai 39 kanak-kanak terdiri daripada golongan asnaf dan kanak-kanak sekitar kawasan Kajang mendaftarkan diri dan dimeriahkan lagi dengan kehadiran lebih 150 tetamu dalam program Sunathon pada kali ini.

Perarakan Peserta KhatanObjektif utama program Sunathon ini adalah untuk membantu gologan asnaf yang tidak berkemampuan di mana KPJ Kajang menanggung kos berkhatan untuk 15 orang asnaf dibantu dengan Ahli Majlis Zon 8 yang turut menanggung kos berkhatan untuk 10 orang asnaf sekitar kawasan Kajang.

Selain itu, 14 orang peserta lain yang terdiri daripada penduduk sekitar kawasan Kajang turut bertuah apabila hanya perlu membayar RM75.00 sahaja iaitu separuh daripada harga asal kos sunat tersebut.

Antara pengisian program Sunathon pada kali ini ialah perarakan peserta dan juga acara mandi Khatan Perdana dengan kerjasama dari Bomba Kajang.

Mandi Khatan PerdanaSelain itu, aktiviti mewarna dan pemeriksaan kesihatan dari Hospital Pakar KPJ Kajang juga dijalankan sebagai pengisian untuk peserta dan ibu bapa sementara menunggu giliran masing-masing untuk berkhatan.

Poliklinik Al Azhar dan rakan dijemput untuk mengetuai acara mengkhatankan kanak-kanak bertuah itu.

Program Amal Mutiara Sunathon 2015 bermula dari jam 7.45 pagi dan berakhir pada jam 2.30 petang.

Untuk pengetahuan, perkataan Sunathon berasal dari gabungan perkataan Sunat dan Marathon secara tidak langsung membawa maksud khatan beramai-ramai.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.