Categories
AGAMA SELANGOR

KPJ serah 20 kerusi roda kepada JAKESS mudahkan OKU berurusan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 25 NOV: Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) menerima sumbangan 20 kerusi roda daripada empat pusat perubatan Kumpulan Perubatan Johor (KPJ).

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Jawatankuasa Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata, empat KPJ terbabit adalah KPJ Shah Alam, KPJ Damansara, KPJ Klang dan KPJ Ampang.

“Ini adalah satu usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang wajar dicontohi badan korporat lain dalam menyantuni golongan kelainan upaya (OKU)dan juga warga emas yang memerlukan kemudahan tersebut dalam melakukan urusan mereka termasuk di Mahkamah Syariah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran MCK Dan Penyerahan Sumbangan Kerusi Roda Bagi Kegunaan Orang kelainan Upaya di Mahkamah Syariah Selangor di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Hakim Syarie Selangor, Yang Amat Arif Mohd Adib Hussain, berkata kerusi roda itu akan diagihkan kepada ibu pejabat dan semua Mahkamah Rendah Syariah.

“Diharap semua penerima sumbangan ini menjaga kemudahan diberikan dengan baik bagi memastikan objektif meningkatkan lagi kualiti penyampaian dan perkhidmatan kepada seluruh masyarakat Selangor tercapai,” katanya.

Sebelum itu, pada majlis sama Yang Amat Arif Mohd Adib menerima sumbangan kerusi roda daripada wakil-wakil KPJ Klang, KPJ Shah Alam, KPJ Ampang Puteri dan KPJ Damansara sambil disaksikan Ahmad Yunus.

=EZY=

Categories
SELANGOR

KPJ ikrar tawar rawatan kesihatan terbaik

OLEH LIZAWATI MADFA

RAWANG, 29 MAC: KPJ Healthcare Berhad (KPJ) berikrar untuk terus menyumbang kepada kualiti kesihatan lebih baik dalam kalangan masyarakat sebagai tanggungjawab sosial korporat.

Pengerusinya, Dato’ Kamaruzzaman Abu Kassim berkata, organisasi korporat itu antara lain menubuhkan rangkaian klinik dan pusat dialisis Wakaf An Nur (KWAN) dalam usaha mencapai objektif berkenaan.

Katanya, ia menawarkan perkhidmatan dan ubatan pada harga serendah RM5 di klinik dan RM90 di pusat dialisis.

“Di Selangor sahaja terdapat lima klinik wakaf iaitu di Sungai Buloh, Ijok, Bukit Indah, Ampang; Masjid Al Falah USJ dan Masjid Sultan Suleiman, Klang serta satu pusat dialisis di Ijok.

“Secara keseluruhan, rangkaian KWAN memiliki satu hospital wakaf dan 18 klinik termasuk empat klinik bergerak serta lapan pusat dialisis di seluruh Malaysia,” katanya.

Beliau berucap demikian di Majlis Perasmian Hospital Pakar KPJ Rawang, di sini, hari ini.

Kamaruzzaman berkata, beliau yakin sokongan Kerajaan Negeri dan agensinya mampu melonjak usaha KPJ memberikan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada rakyat Selangor.

“KPJ Rawang juga terpilih sebagai panel bagi program mammogram.

“Pada 15 September 2016, KPJ Rawang berjaya menjalankan 118 ujian mammogram dan beberapa aktiviti pemeriksaan juga ceramah kesihatan,” katanya.

-AA-

Categories
SELANGOR

KPJ dan MPKJ anjur Sunathon

KAJANG 22 NOV: Hospital Pakar KPJ Kajang dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) dan Ahli Majlis Zon 8 telah menganjurkan program Amal Mutiara Sunathon 2015 bertempat di Surau Saujana Impian, Kajang.

Seramai 39 kanak-kanak terdiri daripada golongan asnaf dan kanak-kanak sekitar kawasan Kajang mendaftarkan diri dan dimeriahkan lagi dengan kehadiran lebih 150 tetamu dalam program Sunathon pada kali ini.

Perarakan Peserta KhatanObjektif utama program Sunathon ini adalah untuk membantu gologan asnaf yang tidak berkemampuan di mana KPJ Kajang menanggung kos berkhatan untuk 15 orang asnaf dibantu dengan Ahli Majlis Zon 8 yang turut menanggung kos berkhatan untuk 10 orang asnaf sekitar kawasan Kajang.

Selain itu, 14 orang peserta lain yang terdiri daripada penduduk sekitar kawasan Kajang turut bertuah apabila hanya perlu membayar RM75.00 sahaja iaitu separuh daripada harga asal kos sunat tersebut.

Antara pengisian program Sunathon pada kali ini ialah perarakan peserta dan juga acara mandi Khatan Perdana dengan kerjasama dari Bomba Kajang.

Mandi Khatan PerdanaSelain itu, aktiviti mewarna dan pemeriksaan kesihatan dari Hospital Pakar KPJ Kajang juga dijalankan sebagai pengisian untuk peserta dan ibu bapa sementara menunggu giliran masing-masing untuk berkhatan.

Poliklinik Al Azhar dan rakan dijemput untuk mengetuai acara mengkhatankan kanak-kanak bertuah itu.

Program Amal Mutiara Sunathon 2015 bermula dari jam 7.45 pagi dan berakhir pada jam 2.30 petang.

Untuk pengetahuan, perkataan Sunathon berasal dari gabungan perkataan Sunat dan Marathon secara tidak langsung membawa maksud khatan beramai-ramai.

EZY

Categories
SELANGOR

RM5 dapat khidmat kesihatan di Klinik Wakaf An Nur

Oleh: NORHAYATI UMOR

SUBANG JAYA, 28 OGOS: Dengan hanya membayar RM5, penduduk berpeluang menggunakan khidmat rundingan dan rawatan kesihatan asas pesakit luar yang disediakan oleh KPJ Health Berhad.

Bagaimanapun, Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh berkata hal itu kerana masih ramai yang tidak mengetahui kewujudan Klinik Wakaf An Nur (KWAN), Masjid Al Falah yang terletak di USJ 9.

Katanya, beliau mahu penduduk di sekitar Subang Jaya memanfaatkan peluang itu.

kpj1“KWAN menyediakan pelbagai kemudahan termasuk ubatan dengan bayaran hanya RM5.

“Di DUN Subang Jaya kita hanya ada sebuah klinik 1Malaysia sahaja, kita tiada klinik lain.

“Jadi KWAN adalah klinik yang cukup baik untuk dimanfaatkan. Kita memahami di Subang, bukan semua golongan kaya masih ramai yang perlu dibantu,” katanya kepada SelangorKini.

Hannah berkata KWAN menawarkan perkhidmatan perundingan dan rawatan kesihatan asas pesakit luar tanpa mengira bangsa dan kaum.

“Jangan risau dengan kemudahan tempat letak kenderaan, di sini terdapat banyak lot Parking,” katanya.

Dalam pada itu, Hannah turut menyumbangkan sebanyak RM10,000 bagi membantu kos operasi klinik terbabit.

cek klinik 2Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif KPJ Damansara, Zaharah Osman.

Beliau memaklumkan sebanyak RM25,000 daripada peruntukan DUNnya diserahkan kepada KWAN sejak ia ditubuhkan.

KWAN merupakan projek usahasama antara KPJ Damansara Specialist Hospital dengan Masjid Al-Falah.

Ia bertujuan mewujudkan sebuah klinik kesihatan yang berkonsepkan waqaf terutama kepada golongan kurang berkemampuan.

KWAN mula beroperasi di sebuah kabin sementara dan berpindah ke bangunana baru pada 2013 dengan kos sebanyak RM650,000.

Ia beroperasi setiap hari dari Isnin hingga Jumaat jam 8.30 hingga 5 petang.

Manakala Sabtu dari 8.30 pagi hingga 12 tengah hari.

Setakat Jun 2015, KWAN menerima sebanyak 5,195 pesakit.

EZY

Categories
SELANGOR

Kutipan Zakat Selangor Meningkat Melebihi Sasaran

Kutipan Zakat Selangor Meningkat Melebihi Sasaran 01

SHAH ALAM, 22 JAN : Jumlah kutipan zakat harta dan fitrah di Selangor pada tahun 2012 melebihi sasaran, dengan jumlah kutipan sebanyak RM451 juta berbanding RM394.1 juta dalam tempoh sama pada tahun sebelumnya.

Perkara itu diumumkan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd. Isa pada sidang media khas yang diadakan di Bangunan Sultan Idris Shah di sini.

Menurut Adzib, jumlah kutipan ini melebihi daripada sasaran RM430 juta yang ditetapkan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan kenaikan sebanyak 14 peratus dan perbezaan sejumlah RM59.6 juta.

Katanya, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM432.2 juta dikutip daripada zakat harta, manakala RM18.8 juta daripada zakat fitrah.

“Pada tahun 2012, LZS mengutip zakat harta sebanyak RM432.2 juta, berbanding RM376.1 juta pada tahun sebelumnya. Jumlah kutipan zakat terbesar mengikut segmen disumbangkan oleh Zakat Pendapatan (RM260.5 juta), diikuti Zakat Perniagaan (RM85 juta); Zakat Simpanan (RM30.5 juta); Zakat KWSP (RM7.8 juta); Zakat Saham (RM7.8 juta); Zakat Emas dan Perak (RM2.1 juta); Zakat Harta (RM34.6 juta); Zakat Tanaman (RM2.6 juta), Zakat Ternakan (RM0.03 juta) dan Qada Zakat (RM1.4 juta).

“Jumlah pembayar zakat harta bagi tahun lalu ialah seramai 210,723 orang (meningkat 17 peratus) berbanding tahun sebelumnya. Daripada jumlah tersebut, seramai 44,488 orang merupakan pembayar baru di LZS,” katanya.

Sementara itu, katanya, bagi tahun 2012, Mais melalui LZS telah mengutip zakat fitrah sebanyak RM18.8 juta, berbanding RM18 juta pada tahun 2011.

Tambahnya, LZS turut meletakkan sasaran kutipan zakat bagi tahun 2013 adalah sebanyak RM470 juta iaitu kenaikan sebanyak 4 peratus berbanding pencapaian tahun lalu.

Katanya lagi, program pencarian fakir dan miskin yang dikenali sebagai Skuad Jejak Kemiskinan (SJK) yang diperkenalkan sejak 2011 juga kini telah mendaftarkan seramai 932 keluarga untuk menerima pelbagai bantuan.

Dalam pada itu, LZS juga akan melaksanakan beberapa inisiatif baru pada tahun ini antaranya Klinik Bergerak dan Pusat Jagaan Warga Emas Zakat Selangor dengan kerjasama Kumpulan Perubatan Johor(KPJ).

“Manakala pusat jagaan warga emas yang bertempat di Jalan Kebun, Shah Alam itu dijangka siap sepenuhnya pada bulan Jun tahun ini. Pusat jagaan ini akan memberi perkhidmatan penjagaan, perlindungan dan pemulihan bagi warga emas lelaki dan wanita,” jelasnya.

Categories
SELANGOR

Penduduk Pulau Ketam Terima Pemeriksaan Mata

PELABUHAN KLANG 24 NOV : Penduduk Pulau Ketam khususnya warga emas menerima pemeriksaan mata secara percuma melalui program yang dianjurkan oleh Pusat Perubatan Pakar KPJ Klang dengan kerjasama CIMB Berhad pada hari ini.

Program yang diadakan di balai raya Pulau Ketam itu dihadiri kira-kira 200 penduduk serta kakitangan KPJ yang terdiri daripada doktor, pegawai perubatan, dan pegawai CIMB.

Pengurus program, Zaharah Osman berkata, sokongan dan penglibatan kakitangan KPJ Klang memberikan impak yang besar terhadap program berkataan.

Katanya, ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam usaha membantu dan memberikan kesedaran kepada mengenai penjagaan mata dan kesihatan secara keseluruhan.

“Program ini mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada penduduk bagi mendapatkan pemeriksaan mata.

“Kami merasa gembira kerana semua kakitangan memberikan komitmen yang baik terhadap program ini,” katanya ketika ditemui.

Program ini dirasmikan oleh Exco Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali yang juga merupakan Adun Selat Klang.

Dr Halimah di dalam ucapannya berkata, Kerajaan Negeri ingin melihat lebih banyak lagi syarikat-syarikat swasta memberikan khidmat sosial kepada penduduk khususnya di kawasan padalaman.