Categories
NASIONAL

Lebih 11,000 petisyen sokong kempen undi tidak percaya

SHAH ALAM, 4 NOV: Lebih 11,000 petisyen atas talian dicetak dan dikemukakan kepada Ahli Parlimen sebagai sokongan kempen undi tidak percaya terhadap Datuk Seri Najib Razak.

Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) dalam satu kenyataan, berkata kempen itu juga berjaya mengedarkan 20,000 poskad khas ke seluruh negara, sejak 2 November lalu.

Katanya, orang ramai mengambil peluang menyampaikan mesej kepada wakil rakyat masing-masing untuk menyokong usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri.

bersih 3“BERSIH 2.0 mendapat maklum terdapat beberapa petisyen tidak wujud dalam daftar pemilih atau mengisi kawasan parlimen salah.

“Kami dengan tegas menyatakan tiada penyelewengan dalam proses mengisi petisyen atas talian itu, sebaliknya dijalankan dengan keyakinan bahawa rakyat sedar kawasan Parlimen mana mereka mengundi,” katanya.

BERSIH 2.0 juga berkata, tiada mekanisme untuk memeriksa pendaftaran petisyen dengan daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Malah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu turut mengasingkan sejumlah besar petisyen yang tidak mempunyai nombor kad pengenalan, menggunakan nama samaran atau tidak menyatakan nama wakil rakyat.

Najib-1MDB“Justeru, sebarang kekurangan dalam urusan melalui laman sesawang DearYB.my amat dikesali. Kami simpulkan sebarang kejanggalan dalam senarai petisyen menunjukkan sama ada pengundi tidak tahu siapa sebenarnya wakil rakyat mereka atau tidak sedar kawasan mengundi.

“Apa yang penting, suara rakyat untuk wakil rakyat mereka di Parlimen menolak kepimpinan Perdana Menteri sudah disampaikan,” katanya.

Kempen berkenaan memfokuskan kepada ahli Parlimen untuk menyokong usul undi tidak percaya kepada Najib ekoran keengganan beliau memberi penjelasan berkenaan dana RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.