Oleh: SYASYA SUFIAN
SHAH ALAM, 4 NOV: Kegembiraan terpancar di wajah tujuh keluarga asnaf apabila mereka menerima bantuan pembiayaan rumah pangsapuri kos rendah daripada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bersama Lembaga Zakat Selangor (LZS).
Bantuan disalur melalui wang zakat PKNS berjumlah RM287,000 bagi membeli pangsapuri bernilai RM35,000 seunit untuk diserahkan kepada asnaf supaya dapat hidup dalam kediaman lebih selesa.
Muhamad Taha Rasul Abdul Aziz, 39, ternyata sangat bersyukur apabila impiannya memiliki rumah sendiri tercapai malah lebih awal daripada dijangka.
“Sebagai tukang masak dengan gaji kecil memang mustahil untuk saya memiliki rumah sendiri. Kalau ada sekali pun mungkin lagi 20 tahun.
“Alhamdulillah, rezeki itu sudah sampai lebih awal daripada dijangka,” katanya.
Sementara itu, Masninah Kumin, 48, berkata sebagai ibu tunggal menyara ahli keluarga ramai menyukarkan beliau membayar sewa rumah lebih besar.
“Gaji tidak tinggi tapi perlu menyara enam anak dan lima cucu di rumah setinggan di Kampung Keretapi, Klang.
“Bersyukur sangat dengan bantuan ini. Kami sekeluarga sudah memiliki rumah sendiri dan saya tidak perlu lagi ikat perut untuk bayaran sewa bulanan,” katanya kepada Selangor Kini.
Suri rumah, Amitah Guasia, 38, berkata kos kehidupan hari ini semakin mencengkam membataskan keluarganya mencari rumah sewa selesa pada harga murah.
“Hanya suami bekerja menyara saya dan lima anak yang masih bersekolah. Kos kehidupan hari ini sangat tinggi menekan kehidupan golongan seperti kami.
“Terima kasih PKNS dan LZS kerana prihatin terhadap kesusahan masyarakat,” katanya.
-nR-