Categories
SELANGOR

Lebuh raya: Ambil kira keperluan dan pandangan penduduk 

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 3 NOV: Pembinaan lebuh raya di Selangor perlu mengambil kira keperluan dan pandangan penduduk serta mengikut pelan Pembangunan Berorientasi Transit (TOD) yang digariskan Kerajaan Negeri.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata pembinaan lebuh raya juga bukan penyelesaian mutlak kepada masalah mengurangkan kesesakan.

“Seperti yang dinyatakan dalam Belanjawan Selangor 2016, tekanan pembangunan pesat melebihi kemampuan kapasiti pengangkutan sedia ada.

azmin-sidang“Kerajaan Negeri yakin pembangunan infrastruktur menjadi anjakan pengangkutan awam bersepadu dan lestari dengan menggunakan tanah optimum,” katanya yang menjawab soalan Shahrum Mohd Sharif (BN-Dengkil) berhubung pembinaan Lebuhraya Damansara Shah Alam (DASH).

Mohamed Azmin (PKR-Bukit Antarabangsa), berkata Kerajaan Negeri mengguna pakai Seksyen 20A Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) yang memperuntukkan jabatan atau agensi kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan atau Negeri harus berunding dengan Jawatankuasa Perancang Negeri berkenaan sebarang aktiviti pemajuan yang mahu dijalankan di negeri itu.

“Oleh itu, apabila dilantik menjadi Dato’ Menteri Besar, saya berjumpa dengan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof menyatakan hasrat kumpulan ‘Say No To Dash’ berhubung isu berbangkit, pada 19 Mac lalu.

“Saya meminta kementerian dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) untuk meneliti bantahan dan mengemukakan pilihan lain terus kepada penduduk yang tidak bersetuju dengan jajaran terakhir membabitkan kawasan Damansara Perdana,” katanya.

lebuh rayaBeliau difahamkan, proses perbincangan dengan penduduk bersama pihak bertanggungjawab sedang dilakukan dan Prolintas sedang melaksanakan reka bentuk baru untuk dikemukakan kepada penduduk sebelum keputusan terakhir dilakukan.

“Kerajaan Negeri juga menegaskan dalam pertemuan itu berkenaan hasrat kita yang mahu nisbah pengangkutan 60:40 berbanding Kerajaan Persekutuan 40:60,” katanya.

Lebuhraya DASH disahkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), pada 14 Disember 2011.

Kerajaan Negeri meminta Jabatan Perancangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk mengkaji dan meneliti secara terperinci pembinaan dan jajaran untuk diselaraskan dengan pelan struktur negeri.

Pada 8 Februari hingga 23 Februari 2012, MBSA dan MBPJ mengambil tindakan membentangkan cadangan di taklimat pendengaran awam dan mendapati 98 peratus bersetuju, manakala dua peratus tidak bersetuju.

Mohamed Azmin, berkata MMKN pada 18 April 2012 bersetuju supaya jajaran itu dimasukan ke dalam pelan perancangan tempatan MBSA dan MBPJ selepas pendengaran awam.

“Antara cadangan Kerajaan Negeri adalah meminta Kerajaan Persekutuan memasukkan klausa iaitu apabila kutipan mencapai sasaran, maka projek perlu diserahkan kepada Kerajaan Negeri termasuk apabila tamat konsesi walaupun jika mendapat pulangan awal.

“Pada masa sama, keuntungan perlu adil dan ‘down side’ juga dilaksanakan jika tidak dicapai,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.