Categories
SELANGOR

LKAN: Pengurusan hartanah wakaf perlu ditambah baik

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 24 NOV: Pengurusan hartanah wakaf Negeri Selangor kurang memuaskan berdasarkan hasil pengauditan dilakukan Jabatan Audit Negara (Audit) antara bulan April hingga Julai 2015.

Hasil pengauditan mendapati, data daftar hartanah wakaf tidak lengkap dan tidak kemas kini dengan 27.5 peratus hartanah wakaf masih belum didaftarkan hak milik Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

LKAMSebanyak 87.6 peratus daripada hartanah wakaf yang sudah didaftarkan sebagai hak milik MAIS tidak diwartakan manakala 75.3 peratus masih belum dimanfaatkan.

Audit berkata, pemantauan hartanah wakaf kurang memuaskan kerana tanah wakaf tidak dimanfaatkan dengan sebarang aktiviti dan terdapat kes pencerobohan.

“Pelaksanaan projek pembangunan tidak mengikut perancangan serta kelewatan dalam melaksanakan dan menyelesaikan istibdal.

“Pengurusan sewaan juga kurang memuaskan kerana kutipan caj sewaan 2014 berbanding 2013 menurun sebanyak 15.6 peratus.

“Selain itu, bagi 2014 usia tunggakan melebihi 10 bulan adalah sebanyak 42.6 peratus daripada jumlah keseluruhan tunggakan sewa,” katanya dalam Laporan Ketua Audit Negeri Selangor 2014 Siri 3.

Selain MAIS, Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) adalah dua badan bertanggungjawab dalam hal ehwal wakaf di Selangor.

MAIS berperanan dalam pengurusan sumber wakaf manakala PWS berperanan umembantu MAIS dalam menggalak, membantu, mengusaha dan memajukan harta dan produk wakaf selaras dengan hukum syarak.

Bagi membaiki kelemahan ditemui, Audit mengesyorkan data hartanah wakaf dilengkapkan serta peletakan hak sebagai milik MAIS diselesaikan segera dan seterusnya mewartakan hartanah wakaf setiap tahun.

MAIS dan PWS perlu memantapkan pemantauan serta mengadakan perancangan spesifik dan menyeluruh bagi memastikan hartanah wakaf dibangun serta dimanfaatkan sejajar dengan niat pewakaf.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.