Categories
SELANGOR

LKAN: Prestasi kewangan PDSB perlu dimantapkan elak kerugian

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 24 NOV: Prestasi kewangan PNSB Development Sdn Bhd (PDSB) perlu dimantapkan selepas mencatatkan peningkatan kerugian sebelum cukai secara mendadak pada 2014 berjumlah RM19.94 juta berbanding 2013.

Keputusan tidak memuaskan itu diumumkan Jabatan Audit Negara itu selepas menjalankan audit terhadap prestasi kewangan PDSB bagi 2012 hingga 2014 pada bulan Mei hingga Julai 2015.

LKAMSelain itu, anak syarikat Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) itu turut mencatatkan kerugian terkumpul berjumlah RM10.74 juta pada 2014.

“Mengikut penyata kewangan beraudit PDSB bagi tahun berakhir 2014, syarikat ini mencatatkan liabiliti semasa melebihi aset semasa berjumlah RM62.64 juta dan Juruaudit bertauliah sudah menyuarakan kewujudan ketidakpastian ketara terhadap keupayaan syarikat ini beroperasi berterusan.

“Pematuhan PDSB terhadap prinsip tadbir urus korporat kurang memuaskan,” katanya dalam Laporan Ketua Audit Negeri Selangor 2014 Siri 3.

Penemuan Audit mendapati terdapat kelemahan berkaitan projek usaha sama pembangunan perumahan di Mukim Petaling dan Alam Perdana melibatkan kelewatan penyiapan projek pembinaan.

“Sebanyak 506 pembeli unit rumah Fasa 1 masih belum menjelaskan bayaran kemajuan berjumlah RM11.99 juta sedangkan PDSB membelanjakan kos baik pulih berjumlah RM41.59 juta.

“Bagi 382 unit rumah yang diserah kunci, sebanyak 84.5% aduan yang diterima masih belum atau sedang dalam tindakan manakala 68.7 peratus aduan diselesaikan mengambil tempoh melebihi tiga bulan,” katanya.

Audit berkata, PDSB dengan kerjasama PNSB perlu menyediakan Rancangan Strategik Jangka Pendek dan Jangka Panjang yang spesifik serta jelas supaya matlamat penubuhan PDSB dapat direalisasikan.

Jelasnya, langkah proaktif perlu diambil meningkatkan tadbir urus korporat syarikat dan memberi pulangan berterusan.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.