Categories
SELANGOR

MB: Bonus lebih tinggi jika berjaya tingkat hasil

Oleh: NAZLI IBRAHIM

AMPANG, 9 NOV: Kerajaan Selangor tidak teragak-agak membayar bonus lebih tinggi berbanding sebulan setengah gaji dibayar tahun ini sekiranya berjaya memungut hasil memberangsangkan pada tahun hadapan.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata bonus dibayar Kerajaan Negeri itu merupakan bayaran bonus tertinggi berbanding Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri lain.

“Kejayaan ini tak dapat dicapai tanpa pengorbanan anggota perkhidmatan awam dan saya nak ucapkan rasa gembira Kerajaan Negeri apabila kakitangan awam beri komitmen menjayakan polisi Selangor.

Penyerahan Tong Sampah kepada PBT di MPAJ - MB (7)“Sebab itu kita berikan bonus sebulan setengah. Sebulan kita dah bayar dan dah habis pun tetapi kalau dibandingkan Kerajan Persekutuan RM500 sahaja dan negeri lain pula cuma setengah bulan sahaja,” kata Mohamed Azmin.

Katanya, walaupun pada 2016 dijangkakan belanjawan defisit RM600 juta tetapi beliau percaya kewibawaan kakitangan awam mampu menjadikan belanjawan surplus.

“Kalau duit banyak kita boleh bagi bonus lagi besar. Tunggu dan lihat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyerahan Pembekalan Tong Sampah Percuma Kepada Pihak Berkuasa Tempatan Selangor di Menara Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di sini, hari ini.

Ketika mengulas isu sama, Mohamed Azmin berkata, ketika ini Kerajaan Negeri menetapkan tanda aras perlu dicapai setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Pejabat Tanah dan Galian di setiap daerah.

“Kita ada tanda aras ditetapkan bagi hasil semasa PBT perlu mengutip 95 peratus dan bagi tunggakan kita harapkan 90 peratus dan kita dah lihat rekod tahun ini apabila mereka bekerja kuat meningkatkan hasil.

“Hasil dikutip PBT dan pejabat daerah positif contohnya kita jangka hasil pada 2015 adalah RM1.9 bilion tetapi kakitangan kita kutip RM2.2 bilion sebab itu belanjawan defisit 215 jadi belanjawan surplus,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.