Categories
AGENDA NASIONAL

Penjawat awam dapat bonus RM700, pesara RM350

SHAH ALAM, 29 OKT: Seramai 1.3 juta penjawat awam Gred 56  dan ke bawah akan menerima Bantuan Khas Kewangan berjumlah RM700 sebagai menghargai jasa dan pengorbanan mereka menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat terutamanya semasa negara mengharungi tempoh mencabar ini.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata manakala seramai satu juta pesara kerajaan pula akan menerima Bantuan Khas Kewangan berjumlah RM350.

“… (kedua-dua bantuan ini melibatkan) dengan implikasi kewangan sebanyak RM1.3 bilion. Diharapkan semoga bantuan ini dapat menjadi pemangkin kepada penjawat awam untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi,” katanya ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Perkara itu adalah antara yang cadangan di bawah strategi keempat iaitu “Mendokong Penyampaian Perkhidmatan Awam” daripada Fokus Ketiga Bajet 2022 yang bertemakan “Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera”.

Selain itu, Zafrul berkata gantian cuti rehat (GCR) juga dinaikkan daripada maksimum 150 hari kepada 160 bagi menghargai pengorbanan penjawat awam terutama barisan hadapan yang tetap komited dengan tugas dan tidak berpeluang bercuti.

Beliau berkata kerajaan turut akan melaksanakan kemudahan membenarkan penebusan awal GCR sehingga 50 peratus atau 80 hari dengan mengambil kira keperluan penjawat awam seperti menunaikan haji atau membiayai pengajian tinggi anak mereka.

Katanya, kerajaan juga bercadang untuk menambah baik beberapa kemudahan anggota perkhidmatan awam antara lain memperuntukkan RM365 juta  untuk menyelenggara kuarters dan bangunan guna sama di bawah seliaan Bahagian Pengurusan Hartanah.

Antara tambah baik lain adalah meningkatkan Kadar Bayaran Insentif Pengawasan Banduan daripada RM150 kepada RM200 sebulan yang bakal memanfaatkan lebih 14,000 pegawai penjara, selain meningkatkan Elaun Penugasan Sukarelawan Simpanan Polis daripada RM7.80 kepada RM9.80 sejam untuk pegawai dan RM6 kepada RM8 sejam untuk anggota.

Kerajaan juga bercadang memberikan bayaran insentif sebanyak RM200 kepada Pembantu Pembangunan Masyarakat Gred S19 dan Pembantu Perawatan Kebajikan Gred U11 dan U14 yang bertugas di 24 institusi kebajikan yang terlibat secara langsung dalam perkhidmatan menjaga dan merawat penghuni warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan pesakit mental.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Tangguh sistem KPI, bonus penjawat awam ikut kadar rata

SHAH ALAM, 7 APRIL: Kerajaan Negeri terpaksa menangguh pemberian bonus berdasarkan indeks petunjuk prestasi utama (KPI) susulan penularan Covid-19.

Dato’ Menteri Besar berkata kaedah kadar rata digunakan tahun ini bagi mengimbangi kewangan negeri dengan mengutamakan perkara lebih penting.

“Bayaran bonus mengikut kaedah ini dilaksana sehingga tarikh yang difikir sesuai untuk menggunakan semula sistem KPI.

“Matlamat KPI untuk menggalakkan penjawat awam bekerja lebih keras dan berusaha jika mahu mendapat lebih bonus,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau ditemui pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2020 yang meraikan seramai 126 kakitangan di Dewan Jubli Perak di sini.

Pengiktirafan meliputi kakitangan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, perbendaharaan dan pejabat tanah dan galian, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor serta Majlis Sukan Negeri.

Pada hujung 2018, Amirudin mengumumkan bayaran bonus penjawat awam dijalankan mengikut sistem KPI. Imbuhan lebih dua bulan diberikan jika mencapai gred tertentu.

 

Categories
NASIONAL

PM beri jaminan bonus Aidilfitri kepada penjawat awam

GEORGE TOWN, 16 Mei: Perdana Menteri memaklumkan kerajaan akan memberikan bantuan khas Aidilfitri kepada penjawat awam.

Tun Dr Mahathir Mohamad, bagaimanapun tidak menyebut berapa jumlah yang akan diberikan dan sama ada bantuan khas itu akan diberikan kepada semua penjawat awam.

Sebaliknya, Dr Mahathir berkata, perkara itu akan diumumkan kemudian.

“(Bantuan khas Aidilfitri untuk penjawat awam) ada, kita akan isytiharkan kemudian,” katanya ketika ditanya sama ada kerajaan akan memberikan bantuan khas Aidilfitri kepada penjawat awam di sini hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2019.

Pada 30 April lepas, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) akan memohon kepada kerajaan persekutuan agar dapat memberikan bantuan khas Aidilfitri kepada semua penjawat awam di seluruh negara.

Tahun lepas, kerajaan memberikan bantuan khas berkenaan iaitu bagi gred 41 dan ke bawah sebanyak RM400 seorang manakala pesara kerajaan sebanyak RM200. – BERNAMA

 

Categories
SELANGOR

Tawaran bonus lebih dua bulan beri motivasi penjawat awam

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 1 FEB: Ganjaran bonus lebih dua bulan gaji kepada penjawat awam yang berjaya mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) seperti ditetapkan Kerajaan Negeri mampu menjadi motivasi terbaik kepada golongan itu.

EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, langkah ini juga membuktikan kepimpinan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari sentiasa mengutamakan kebajikan kakitangannya.

“Ini menunjukkan Dato’ Menteri Besar sentiasa menjaga kebajikan kakitangan kerajaan dan memberi motivasi kepada mereka untuk mencapai KPI ditetapkan.

“Sebagai EXCO bertanggungjawab dalam Pembangunan Modal Insan, saya menyambut baik kenyataan Dato’ Menteri Besar untuk memberi ganjaran kepada penjawat awam berdasarkan kerja keras mereka,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Pada Perhimpunan Bulanan Jabatan-Jabatan Kerajaan Negeri Selangor 2019 baru-baru ini, Amirudin berkata, penjawat awam Selangor bakal menikmati pembayaran bonus dua bulan gaji atau lebih jika berjaya mencapai KPI.

“Kita akan menilai daripada segi pencapaian KPI jabatan dan individu, namun pemberiannya juga adalah berdasarkan hasil pungutan negeri,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Lebih dua bulan bonus jika capai KPI

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 29 JAN: Penjawat awam Selangor bakal menikmati pembayaran bonus dua bulan gaji atau lebih jika Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dapat dicapai, itu janji Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari, di hadapan lebih 500 penjawat awam negeri itu, hari ini.

Katanya, Kerajaan Negeri sentiasa cuba yang terbaik bagi pemberian bonus, berbanding tahun lalu.

“Tahun lalu kita beri dua bulan, tahun ini akan cuba lebih terbaik. Namun, tidak semua akan dapat ‘lebih’ itu, mungkin ada yang dapat setengah atau suku.

“Kita akan menilai daripada segi pencapaian KPI jabatan dan individu, namun pemberiannya juga adalah berdasarkan hasil pungutan negeri,” katanya ketika Perhimpunan Bulanan Jabatan-Jabatan Kerajaan Negeri Selangor 2019, di Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah, di sini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya; Speaker Dewan Negeri Selangor, Ng Suee Lim, barisan EXCO serta penjawat awam Selangor.

Sementara itu, Amirudin dalam ucapannya berkata, pemberian bonus lebih dua bulan gaji itu sebagai menghargai majoriti penjawat awam yang mampu mencapai KPI ditetapkan.

“Saya yakin 99 peratus penjawat awam di negeri ini mampu melaksanakan misi berkenaan. Jadi, jika hendak merealisasikannya, maka kita kena laksanakan tugas dan amanah diberikan,” katanya.

Pada November lalu, Amirudin melalui ucapan Belanjawan Selangor 2019 memaklumkan Kerajaan Selangor akan menggunakan sistem KPI bagi menentukan kadar pembayaran bonus buat penjawat awam, mulai tahun ini.

Penggunaan sistem itu, sekali gus menyaksikan tiada lagi pembayaran bonus secara langsung seperti dilakukan sebelum ini.

Categories
SELANGOR

Bonus Kerajaan Selangor, tunggu dulu…

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 22 NOV: Kerajaan Negeri sedang membuat perkiraan berkenaan pemberian bonus kepada kakitangan kerajaan melalui Belanjawan Selangor 2019.

Justeru, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berharap semua pihak sabar menunggu pengumuman itu.

“Tunggu dulu, mana boleh saya umumkan lagi,” katanya ringkas kepada media selepas Majlis Pecah Tanah Fasa 2A Pangsapuri Kos Sederhana di Lot 69831, di sini, semalam.

Sebelum ini, melalui Belanjawan Selangor 2018, bekas Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali pernah mengumumkan pemberian Insentif Khas Kewangan atau bonus sebanyak tiga bulan.

Katanya, bonus berkenaan sebagai tanda penghargaan Kerajaan Negeri kepada jasa dan komitmen penjawat awam yang menjalankan amanah sehingga membantu kejayaan pembangunan ekonomi Selangor.

Categories
NASIONAL

Belanjawan 2019: Negeri dan Persekutuan disaran kekalkan bonus penjawat awam

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 22 SEPT: Kerajaan Negeri dan Persekutuan disaran mengekalkan manfaat diberikan kepada penjawat awam dalam belanjawan 2019 masing-masing yang akan dibentangkan nanti.

Bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yaakob berkata, antara manfaat yang perlu dikekalkan termasuklah pemberian bonus atau saguhati yang diberikan kepada belanjawan sebelumnya.

“Kita tak boleh menafikan penjawat awam mainkan peranan sangat penting untuk membangunkan negara termasuk ekonominya kerana segala dasar yang mahu dilaksanakan kerajaan hanya boleh tercapai dengan kerja keras mereka.

“Bagi saya apa sahaja nikmat yang munasabah untuk penjawat awam jangan dipotong sama sekali kerana kesan psikologinya kepada kerajaan tidak baik terutamanya Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) masih baru lagi, ” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Rosli berkata, Kerajaan Persekutuan wajar melihat pengalaman Kerajaan Negeri berusaha memperolehi keyakinan penjawat awam dan rakyat Selangor ketika mula-mula menguasai Kerajaan Negeri pada 2008 lalu.

Katanya, ketika itu selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12), kerajaan baru PAKATAN Selangor yang baru dibentuk terpaksa berhadapan kesukaran mendapat kerjasama kakitangan awam.

Bagaimanapun selepas itu sokongan penjawat awam semakin meningkat apabila mereka melihat kesungguhan Kerajaan Negeri dalam memberi manfaat seperti bonus kepada penjawat awam dan pelbagai insentif lain untuk masyarakat terbanyak.

Katanya lagi, pemberian manfaat seperti bonus bukan sahaja membantu golongan itu membuat persiapan menghadapi musim persekolahan dan perayaan tetapi secara tidak langsung turut memberi impak aliran tunai di dalam pasaran.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Tinjauan: 77% pekerja mahu bonus tahun ini, 1/3 mahu tukar kerja

KUALA LUMPUR 7 MAC: Tinjauan Randstad Malaysia Bonus Survey bagi 2017 dan 2018 menunjukkan lebih 1/3 tenaga kerja di negara ini berhasrat menukar pekerjaan jika tidak dibayar bonus tahun ini.

Tinjauan yang dipetik The Edge itu berkata, 77 peratus pekerja mahu dibayar bonus tahun ini berbanding 66 peratus tahun lepas menunjukkan sentimen positif sekitar prestasi ekonomi dan organisasi.

Menurut laporan global terbaru Workmonitor oleh Randstad, tahap keyakinan pekerja mendapat bonus dan kenaikan gaji lebih tinggi berbanding purata global iaitu 51.3 peratus.

“Tertinggi di rantau ini dan sejajar dengan tinjauan bonus tempatan, 8 daripada setiap 10 rakyat menjangka bayaran bonus pada akhir tahun fiskal ini,” kata Randstad dalam kenyataan.

Walaupun ramai berharap dibayar bonus yang tinggi, 62 peratus responden berkata ia bukanlah faktor paling penting dalam hubungan mereka dengan sesebuah organisasi secara keseluruhan, kata Randstad.

Katanya, bonus dan insentif lain seperti kenaikan gaji dan faedah fleksibel, sebelum ini menjadi faktor utama membantu organisasi mengekalkan pekerja tetapi trend semakin berubah.

The Edge memetik Pengurus Randstad Malaysia, Ryan Carroll sebagai mengatakan, rakyat mula meletakkan nilai lebih besar terhadap apa yang sebelum ini dianggap sebagai faktor “lembut”.

“Keseimbangan kerja dan hidup faktor ke-2 terpenting dalam jenama majikan pada 2017, iaitu peningkatan sebanyak 2 tangga daripada 2016.

“Majikan perlu memahami apa yang menyumbang kepada tenaga kerja yang mahu terlibat dan produktif untuk menarik bakat dan mengekalkan pekerja,” kata Carroll.

Randstad mengkhusus kepada industri perkhidmatan sumber manusia dan penyelesaian dalam bidang kerja fleksibel dan perkhidmatan sumber manusia.

Lebih 700 profesional mengambil bahagian dalam tinjauan diadakan pada Januari 2018.

=EZY=

 

Categories
GLOBAL

Majikan pemurah beri bonus RM99 juta kepada pekerja

GLOBAL 6 FEB: Syarikat Fangda Special Steel Technology yang berpangkalan di timur China memberikan bonus berjumlah 160 juta yuan atau RM99.19 juta kepada pekerjanya.

Berita AGENSI melaporkan pemberian bonus itu dilapor membabitkan seramai 5,000 pekerja dengan masing-masing menerima bonus 32,000 yuan (RM19,840) sementara pekerja yang bersara dan berusia lebih 60 tahun menerima wang tunai 3,000 yuan (RM1,859).

Firma pembuatan besi itu bukan pertama kali membuat kejutan dengan memberikan bonus tinggi kepada pekerjanya.

Sebelum ini, sebuah lagi anak syarikat itu turut tular di internet selepas memberi bonus kepada pekerjanya secara tunai.

Bonus diberikan selepas pengeluaran dan keuntungan syarikat itu mencecah tahap tertinggi, tahun lalu.

Setakat ini, syarikat itu telah memberikan bonus kepada pekerjanya berjumlah 600 juta yuan (RM372 juta) sejak 2011.

Harga besi yang melambung tinggi tahun lalu menyebabkan syarikat besi mengaut keuntungan berlipat kali ganda.

SUMBER: AGENSI

SUMBER GAMBAR: SOUTH CHINA MORNING POST

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor bayar bonus 21 Disember ini

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 30 NOV : Penjawat awam negeri bakal menerima insentif bantuan kewangan, pada 21 Disember ini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, surat perkeliling pengumuman berkenaan sudah dikeluarkan kepada agensi kerajaan berkaitan.

“Saya telah keluarkan arahan bertulis, ia perlu dibayar pada 21 Disember ini supaya pegawai kerajaan dapat membiayai pendidikan anak-anak untuk bersekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada jelajah Peduli Rakyat peringkat Parlimen Gombak, Dataran Gombak Utara, Sungai Pusu, malam tadi.

Pada 3 November lalu, Mohamed Azmin mengumumkan pemberian insentif khas kewangan atau bonus tiga bulan gaji kepada penjawat awam negeri ketika mengumumkan Bajet Belanjawan Selangor 2018.

Bagaimanapun,pembayaran dua bulan gaji sudah dilakukan pada pertengahan Jun lalu, menjelang sambutan Aidilfitri.

Sementara bakinya,  satu bulan gaji lagi akan dibayar pada 21 Disember depan bagi membantu penjawat awam membuat persiapan persekolahan anak.

Pemberian itu dizahirkan sebagai tanda penghargaan Kerajaan Negeri kepada komitmen penjawat awam yang menjalankan amanah dan tanggungjawab dalam pembangunan ekonomi negeri.

Untuk rekod, pembayaran insentif itu memberi implikasi kewangan kepada Kerajaan Negeri sebanyak RM94.65 juta.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Azmin memaklumkan pihaknya menerima banyak permohonan daripada penjawat awam Putrajaya untuk berkhidmat di Selangor, susulan pelaksanaan dasar berkebajikan diwujudkan Kerajaan Negeri.

Bagaimanapun katanya, keperluan proses kelulusan itu terbatas kerana jumlah pegawai kerajaan sedia ada di negeri itu, sudah memadai.

“Saya terima banyak permohonan melalui pesanan ringkas, surat dan emel. Tapi jumlahnya terlalu tinggi.

“Tapi tidak mengapalah, saya minta mereka kekal di Putrajaya kerana selepas pilihanraya depan, kami di Selangor ini yang akan berpindah ke Putrajaya,” selorohnya.

Categories
NASIONAL

MB: Bonus RM2000, tahniah rakyat Pulau Pinang

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 2 NOV: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menyambut baik pengumuman Kerajaan Pulau Pinang yang menawarkan pembayaran bonus RM2,000 kepada penjawat awam cemerlang negeri itu.

Menulis di Twitter, Mohamed Azmin menyifatkan langkah itu sebagai pendekatan berkebajikan pimpinan Pulau Pinang dalam menghargai penjawat awam negeri.

“Tahniah @cmlimguangeng atas pengumuman bajet berkebajikan negeri. Jumaat ini giliran Selangor. Doakan kejayaan saya,” tulisnya.

Pagi ini, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam pengumuman belanjawan negeri mengumumkan pemberian bonus berkenaan diberikan kepada semua penjawat awam cemerlang dalam pentadbiran.

Ia turut membabitkan pembayaran kepada kakitangan cemerlang di agensi Pihak Berkuasa Tempatan, badan korporat dan agensi Kerajaan Negeri yang akan dibayar, pada hujung tahun ini.

“Kami tidak akan tunggu sampai tahun depan untuk bayar bonus bukan seperti Kerajaan Persekutuan yang tidak ada duit (untuk bayar dalam tahun ini). Mereka tidak tahu hendak urus wang. Belajarlah urus kewangan untuk bayar (bonus), dalam tahun sama,” katanya menyindir Putrajaya, lapor The Malaysian Insight.

Pada masa sama, Guan Eng turut mengumumkan bantuan tunai tahunan untuk warga emas berusia 60 tahun ke atas dan orang kurang upaya (OKU) akan dinaikkan 30 peratus, bermula tahun depan.

Katanya, kenaikan itu dibuat selepas mempertimbangkan maklum balas daripada rakyat.

Sementara itu, Selangor bakal membentangkan Belanjawan Negeri 2018 di Dewan Negeri Selangor, pada 3 November ini.

Belanjawan 2017 menyaksikan Kerajaan Selangor mengumumkan pemberian bonus paling tinggi sebanyak dua bulan gaji.

Categories
SELANGOR

MBI agih insentif raya RM4.3 juta

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 21 JUN: Pemerbadanan Menteri Besar (Menteri Besar Incorporated-MBI) mengumumkan pengagihan insentif raya berjumlah RM4.3 juta kepada kakitangan lapan anak syarikat (GLC).

Ketua Pegawai Eksekutif, Raja Shahreen Raja Othman berkata, insentif berkenaan diberikan berbentuk sebulan gaji kepada setiap kakitangan.

Katanya, ia selaras dengan pemberian insentif sama oleh Kerajaan Negeri kepada kakitangan awam sempena Syawal, sebanyak dua bulan gaji.

IMG_8237“Diharapkan, hadiah diberikan ini dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya dan mampu mempertautkan ukhuwah sesama kita.

“Kami di MBI faham dan maklum dengan keadaan semasa yang semakin meruncing dan membebankan masyarakat, di Malaysia.

“Atas dasar keprihatinan dan kasih sayang sesama saudara, tercetus usaha ini dan semoga ia memberi manfaat untuk kita bersama,” katanya kepada Selangor Kini.

Bertempat di Restoran Kueh, majlis penyerahan disempurnakan Raja Shahreen dan turut dihadiri Ketua Pegawai Operasi MBI, Soffan Affendi Aminudin.

GLC berkenaan adalah Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS), Hijrah Selangor, Tourism Selangor, Communication Corporation Sdn Bhd (Media Selangor), Universiti Selangor (UNISEL), Invest Selangor, Institut Darul Ehsan (IDE) dan Rumah Puteri Arafiah (ditadbir PEKAWANIS).