Categories
SELANGOR

MB: Tamat perkhidmatan perkara biasa

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 11 NOV: Penamatan perkhidmatan pegawai tertentu adalah perkara biasa apabila sesebuah syarikat diambil alih pengurusan baharu, kata Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali.

Katanya, tindakan sama dibuat pengurusan baharu di dalam Puncak Niaga Holdings Berhad (Puncak Niaga) dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) adalah bagi melancarkan penyusunan semula dan proses operasi syarikat berkenaan.

MB Azmin“Itu biasa dalam pengambilalihan terhadap mana-mana syarikat.

“Kita mahu pengurusan baharu dapat menerajui syarikat dan industri ini mengikut dasar Kerajaan Negeri,” katanya kepada media di lobi Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri memberi jaminan semua pegawai dan kakitangan Puncak Niaga dan Syabas akan dikekalkan pengurusan baharu.

Katanya, ini kerana sebahagian besarnya mempunyai kemahiran dan pengalaman dalam bidang tertentu.

“Kita mahu mereka terus memberikan perkhidmatan kepada pengurusan baharu tetapi mungkin ada sedikit pengubahsuaian bagi menentukan bidang tugas supaya peranan mereka lebih jelas,” katanya.

Pada 10 Julai lalu, Kerajaan Negeri dan Persekutuan berjaya memuktamadkan penstrukturan semula industri air di Lembah Klang melalui perjanjian persefahaman (MoU) di Putrajaya, 10 Julai lalu.

Berikutan itu, berlaku pengambilalihan dalam Puncak Niaga dan Syabas menyaksikan perubahan dalam pengurusan syarikat terbabit.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.