Categories
SELANGOR

Lebih jimat, bayar sewa ikut berapa hari berniaga

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 11 NOV: Peniaga pasar pagi di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dibenarkan untuk memilih jumlah hari berniaga di dalam seminggu bermula 2016.

Pegawai Komunikasi Korporat MPSJ, Muhammad Azli Miswan, berkata kaedah itu berbeza dengan kaedah semasa yang mewajibkan peniaga berniaga setiap hari.

Katanya, pembaharuan itu membolehkan perniaga membayar fi lesen dan sewa tapak mengikut hari berniaga sahaja.

logo mpsj“Kaedah ini menjimatkan peniaga kerana tidak perlu bayar sewa pada hari yang tidak menjalankan perniagaan.

“Ia juga dapat mengelakkan aktiviti menyewa tempat kepada kepada pihak lain yang menjalankan perniagaan tanpa mempunyai lesen dan petak niaga daripada MPSJ,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, terdapat kes menunjukkan peniaga menyewakan petak niaga mereka kepada pihak lain pada hari di mana mereka tidak berniaga.

Azli berkata, untuk satu petak yang disewa sehari seminggu berharga RM134, dua hari (RM238), tiga hari (RM342) dan bagi empat hari dan ke atas (RM390).

Untuk penyewaan dua petak yang disewa sehari seminggu berharga RM238, dua hari (RM446), tiga hari (RM654) dan bagi empat hari dan ke atas (RM750).

Manakala, kadar sewa dikenakan bagi penyewaan tiga petak sehari seminggu adalah RM342, dua hari (RM654), tiga hari (RM966) dan bagi empat hari dan ke atas (RM1110).

Katanya, perjumpaan bersama peniaga pasar pagi akan diadakan pada 12 November 2015 di Dewan Serbaguna Puchong Indah bermula jam 9 pagi hingga 4 petang untuk memilih bilangan hari berniaga.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.