Categories
KENYATAAN MEDIA

Mengapakah Nancy sanggup mengaitkan kemiskinan dengan jenayah?

Oleh: Lee Chean Chung

Angkatan Muda KEADILAN merasa kesal dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri yang mengatakan bahawa bumiputera akan menjadi pencuri seandainya tidak menerima bantuan daripada kerajaan.

Kenyataan itu berunsur penghinaan dan membawa maksud bahawa bumiputera yang miskin akan menjadi pencuri.

NancyKenyataan yang mengatakan bahawa seseorang akan menjadi pencuri seandainya tidak mendapat bantuan kewangan adalah amat menghina kerana akhlak seseorang insan adalah tidak berkaitan sama ada seseorang itu mendapat bantuan kewangan daripada kerajaan.

Saya merasa amat kecewa dengan Nancy Shukri kerana memegang jawatan Menteri tetapi tidak memahami keadaan kehidupan warga miskin di dalam Malaysia.

Hakikatnya, terdapat ramai warga miskin sama ada di bandar dan luar bandar yang menampung kehidupan mereka sendiri dengan bekerja keras dan mencari rezeki kehidupan dari sumber yang halal.

Ada di kalangan mereka yang bekerja lebih daripada 12 jam sehari tetapi tidak mendapat gaji minima RM1,000.

Ada di antara mereka yang menampung kehidupan dengan bekerja siang malam demi menampung kehidupan harian.

Ada juga anak muda lepasan graduan yang bekerja keras tetapi terpaksa membiayai hutang PTPTN, pinjaman kereta di samping menghadapi kos kehidupan yang makin meningkat.

Mengapakah Nancy sanggup mengaitkan masalah kemiskinan dengan masalah jenayah?

Padahal, yang menjadi pencuri di dalam negara bukan warga miskin, tetapi terdiri juga daripada mereka yang kaya-raya, memegang jawatan tinggi dan mencuri duit rakyat.

Adakah mereka yang terlibat dengan rasuah merupakan golongan miskin yang tidak mendapat bantuan?

Adakah isu yang didedahkan dalam laporan audit negara yang menglibatkan ketirisan dan pemborosan dilakukan oleh golongan miskin yang tidak mendapat bantuan?

Siapakah yang mendapat duit berbilion ringgit di dalam akaun peribadi?

Sememangnya golongan miskin dan lapisan masyarakat kurang upaya perlu dihulurkan bantuan, tetapi bukan dengan cara penghinaan dan penaburan fakta berprejudis.

Saya mendesak Nancy supaya menarik balik kenyataannya dengan segera dan meminta maaf kepada seluruh warga Malaysia atas kenyataannya yang memperlekehkan usaha penghapusan kemiskinan.

* Lee Chean Chung adalah ADUN Semambu dan Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN

Leave a Reply

Your email address will not be published.