Categories
AGENDA NASIONAL

Buka sempadan: Penggiat industri perlu sedia awal terima pelancong luar

PUTRAJAYA, 9 MAC: Penggiat industri pelancongan dan kebudayaan disaran supaya melakukan persediaan awal bagi menerima kemasukan pelancong dari luar negara, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri.

Menerusi satu kenyataan hari ini berhubung pembukaan semula sempadan negara mulai 1 April ini, Nancy berkata pihak terbabit perlu terus mempergiat promosi serta lebih kreatif dalam memasarkan produk dan lokasi pelancongan Malaysia di mata dunia.

“Keputusan pembukaan sempadan negara kepada pelancong luar ini berupaya merancakkan kembali pemulihan ekonomi negara pasca Covid-19, terutama yang melibatkan keseluruhan rantaian pemain industri pelancongan, seni dan budaya di negara ini.

“Motac (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya) kekal optimis industri ini akan kembali bangkit dan berupaya menjadikan Malaysia kembali popular dalam kalangan pelancong antarabangsa,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa Malaysia akan memasuki Fasa ‘Peralihan Ke Endemik’ serta pembukaan semula sempadan negara mulai bulan depan.

Menyifatkan pengumuman itu sebagai berita gembira buat penggiat industri pelancongan, Nancy berkata ia memberi peluang untuk menjana semula sektor pelancongan antarabangsa setelah dua tahun dilanda pandemik.

Beliau berkata pihaknya sentiasa memberikan kerjasama dan menyokong usaha semua agensi kerajaan yang terlibat bagi menjayakan pembukaan semula sempadan negara kelak.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Pelancong seluruh negara boleh ke Langkawi kecuali dari kawasan PKPD

KUALA LUMPUR, 9 SEPT: Pelancong domestik yang memenuhi kriteria tatacara operasi piawai (SOP) dari seluruh negara termasuk dari negeri Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) boleh mengunjungi Pulau Langkawi mulai 16 September ini.

Bagaimanapun, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya  Datuk Seri Nancy Shukri berkata pengunjung perlu memohon kebenaran polis sebelum ke pulau berkenaan serta menunjukkan bukti dokumen seperti tiket penerbangan, tiket feri atau resit hotel.

Beliau berkata kebenaran tersebut tidak terpakai kepada mereka yang sedang berada di kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Menurut Nancy, bagi pergerakan menggunakan jalan darat, pelancong perlu menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan sekurang-kurangnya untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan dari destinasi permulaan ke jeti feri sebelum ke Langkawi.

“Manakala bagi pelancong yang memulakan perjalanan mereka dari Kedah dan Perlis, serta yang menggunakan jalan udara, mereka tidak diwajibkan untuk menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan,” katanya pada sidang media di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) di sini hari ini.

Nancy berkata antara SOP ditetapkan untuk ke Langkawi yang dipilih sebagai destinasi pertama projek rintis program gelembung pelancongan adalah terhad kepada individu yang melengkapkan dua dos vaksin COVID-19.

Beliau berkata tiada had umur ditetapkan selain perlindungan insuran dan saringan COVID-19 juga tidak diwajibkan.

Bilangan penumpang dalam kenderaan pula tertakluk kepada kapasiti kenderaan dan pengunjung yang perlu menyesuaikan dengan waktu perkhidmatan feri ke pulau peranginan itu dibenarkan bermalam di premis penginapan berdaftar di Kedah atau Perlis.

Selain itu, beliau berkata jenis percutian dibenarkan ialah secara harian, bermalam percutian dengan tempahan dan percutian pakej pelancongan melalui syarikat pelancongan berlesen dan berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Aktiviti gelembung pelancongan Langkawi yang dibenarkan termasuk penginapan di hotel atau inap desa (homestay); aktiviti pantai; sukan air; snorkeling; selam skuba; aktiviti pelancongan minat khas; aktiviti eko geo-kembara, premis hasil seni, budaya dan warisan; taman tema dan pusat hiburan keluarga dan lawatan bersifat akademik.

Nancy berkata MOTAC akan membuat pemantauan pelaksanaan gelembung pelancongan Langkawi dan mendapatkan maklum balas daripada masyarakat berkaitan program itu dalam masa dua minggu.

Beliau berkata MOTAC menyasarkan 420,000 pengunjung dari September ke Disember tahun ini.

Sementara itu, Nancy turut mengumumkan Malindo Air dan Firely menawarkan potongan RM50 bagi harga tiket penerbangan di bawah program Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) 1.0.

“Malaysia Airlines dan Air Asia pula masing-masing menawarkan harga promosi bermula RM89 dan RM59 sehala,” katanya.

Selain itu, pelancong boleh menikmati e-baucar bernilai RM50 dan RM100 bagi tempahan tiga hari dua malam di hotel yang mengambil bahagian, menerusi kempen Jom Cuti-Cuti Malaysia! Experince Malaysia Like Never Before.

Menurutnya, terdapat 10 pakej ditawarkan oleh pelbagai agensi pelancongan dengan tawaran serendah RM202 bagi Pakej Cuti Penjawat Awam dan Pesara Kerajaan.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan pertimbang buka sempadan, tingkat pelancongan

KUCHING, 27 DIS: Kerajaan mempertimbangkan untuk membuka sempadan negara bagi membantu merancakkan sektor pelancongan, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri.

“Kini, kami di peringkat mengadakan rundingan dengan negara-negara seperti Singapura, Brunei, Korea, Jepun, Taiwan dan New Zealand yang dikenal pasti sebagai kawasan Zon Hijau,” katanya pada sidang media selepas melawat Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) di sini hari ini.

Nancy berkata beliau menerima banyak permintaan daripada pemain industri pelancongan tempatan untuk mempertimbangkan perkara itu bagi memastikan perniagaan mereka terus bertahan.

“Bagaimanapun, perkara ini perlu dibincangkan dengan lebih lanjut bersama kementerian lain seperti Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan bahawa kebenaran itu diberikan untuk membantu meningkatkan sektor pelancongan di negara ini,” katanya.

Ditanya sama ada gelembung perjalanan zon hijau membantu meningkatkan sektor pelancongan, Nancy berkata: “Ya, malah bilik di hotel-hotel seperti Langkawi telah penuh ditempah. Jadi, ia merupakan inisiatif yang bagus khususnya untuk sektor pelancongan.”

Sementara itu, Nancy turut menggesa pelancong dari zon hijau yang mengembara ke tempat lain supaya mengamalkan tatacara operasi piawai (SOP) terutamanya dalam mengekalkan penjarakan fizikal ketika bercuti.

“Kita tidak mahu kes Covid-19 semakin meningkat apabila kerajaan meluluskan gelembung perjalanan zon hijau kerana akhirnya ia akan memberi kesan terhadap ekonomi khususnya sektor pelancongan di negara kita,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL PELANCONGAN

Garis panduan, SOP gelembung perjalanan siap minggu depan

KUALA LUMPUR, 26 OGOS: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dijangka dapat menyiapkan garis panduan dan tatacara operasi piawai (SOP) berhubung gelembung perjalanan yang dicadang dilaksanakan dengan beberapa negara terpilih minggu depan.

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata garis panduan dan SOP terbabit akan dikemukakan untuk penilaian Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“MOTAC diarahkan oleh kerajaan agar mengemukakan cadangan berserta SOP negara kita. Kami juga berbincang dengan duta-duta terlibat, mendengar pandangan mereka. Mereka juga ingin tahu perancangan kita. Kami telah berbincang dengan Jepun, Singapura … ini akan menjadi inisiatif berterusan negara kita,” katanya ketika ditanya mengenai pelaksanaan gelembung perjalanan itu.

Nancy berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Promo TV Kempen ‘Cuti-cuti Malaysia’ dan pengumuman pemenang pertandingan ‘Video Muzik Cuti-cuti di Rumah’ di sini, hari ini.

Menurut Nancy, MOTAC juga bekerjasama dengan kementerian lain seperti Kementerian Kesihatan, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Luar dalam menyiapkan SOP berkenaan.

Terdahulu, Nancy dalam ucapannya berkata berdasarkan Siri Jelajah Promosi Pelancongan Domestik, beliau mendapati pelancongan tempatan mendapat sambutan menggalakkan daripada rakyat.

“Saya gembira melihat sokongan rakyat terhadap pelancongan domestik di mana kebanyakan hotel menerima tempahan penuh dan ramai yang memanfaatkan cuti hujung minggu dengan membawa keluarga berjalan-jalan,” katanya.

Beliau berkata satu tinjauan melibatkan 13,797 individu di negara ini mengenai persepsi rakyat terhadap pelancongan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menunjukkan pelancongan domestik masih menjadi pilihan apabila 50.9 peratus responden percaya melancong dalam negara lebih selamat selepas PKP.

Selain itu, 71.3 peratus daripada responden memilih Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang selamat berbanding negara-negara lain, katanya.

Beliau juga berkata pelancaran promo TV hari ini tepat pada masanya dengan tema-tema dalam video itu memberikan identiti unik kepada destinasi pelancongan yang ada di Malaysia

Nancy berkata promosi berterusan perlu dilakukan bagi mencetus minat orang ramai untuk keluar melancong selain menyuntik keinginan merasai sendiri pengalaman yang dilihat dalam video promosi tersebut.

Lima video promosi yang dihasilkan mengetengahkan beberapa tema dan produk pelancongan termasuk pulau dan pantai, aktiviti menyelam laut dalam dan bersnorkel, alam semula jadi dan pengembaraan, makanan tempatan dan tematik iaitu satu genre yang merangkumi semua aktiviti pelancongan.

Selain daripada media arus perdana seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM) melalui saluran TV1, TV2 dan TV OKEY, promosi itu turut dimuat naik ke laman web serta platfom digital.

Sementara itu, tiga pemenang pertandingan video muzik ialah Ko Chuan Li (kategori alat muzik), Mohd Yatim Naming (kategori nyanyian) dan Clarissa Premini Robert Jeyakumar (kategori sketsa).

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL PELANCONGAN

Pelancongan domestik naik, permintaan penginapan menggalakkan

KUALA LUMPUR, 27 JULAI: Industri pelancongan domestik negara menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila kegiatan pelancongan dibenarkan semula selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan mulai 10 Jun.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata kadar purata penginapan di beberapa hotel bandar dan resort di seluruh negara adalah menggalakkan terutama di lokasi yang menawarkan keindahan alam semula jadi seperti pulau, pantai, tanah tinggi atau di pinggir hutan.

Beliau berkata sejumlah 180,000 tempat duduk pesawat terjual bermula 10 hingga 28 Jun lepas bagi tempoh penerbangan Julai hingga September 2020 melalui kempen promosi tiket penerbangan domestik yang dijalankan oleh syarikat penerbangan AirAsia.

Pengunjung kelihatan berswafoto semasa matahari terbenam di Pantai Chenang, antara lokasi wajib singgah sekiranya bercuti ke Langkawi. Foto: BERNAMA

“Trend mingguan kadar penginapan juga menunjukkan peningkatan berbanding minggu sebelumnya. Walaupun tidak mendadak atau ketara peningkatannya, ia masih memberi indikatif positif,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Yamani Hafez Musa (BN-Sipitang) mengenai sambutan pengusaha pelancongan dan rakyat terhadap galakan kerajaan mempromosi kempen melancong dalam negeri (domestik).

Nancy berkata perkembangan itu hasil inisiatif penggiat industri pelancongan tempatan melalui tawaran pakej pelancongan istimewa dengan harga promosi menarik bagi hotel, tiket kapal terbang domestik serta diskaun harga masuk ke produk dan destinasi pelancongan.

Dalam pada itu, Nancy menjelaskan susulan pembatalan kempen Visit Malaysia 2020 (VM2020) Mac lepas, peruntukan RM90 juta bagi kempen itu disimpan untuk kegunaan kempen VM edisi akan datang.

Katanya, walaupun VM2020 dibatalkan, kementerian itu masih menjalankan pemantauan untuk memastikan negara-negara yang akan bekerjasama dengan Malaysia adalah negara dari kategori Zon Hijau Covid-19.

Beliau menjawab soalan tambahan yang diajukan Ahmad Hassan (Warisan-Papar) yang ingin tahu mengenai perancangan kementerian terhadap peruntukan yang disalurkan untuk kempen itu.

-BERNAMA

Categories
KENYATAAN MEDIA

Mengapakah Nancy sanggup mengaitkan kemiskinan dengan jenayah?

Oleh: Lee Chean Chung

Angkatan Muda KEADILAN merasa kesal dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri yang mengatakan bahawa bumiputera akan menjadi pencuri seandainya tidak menerima bantuan daripada kerajaan.

Kenyataan itu berunsur penghinaan dan membawa maksud bahawa bumiputera yang miskin akan menjadi pencuri.

NancyKenyataan yang mengatakan bahawa seseorang akan menjadi pencuri seandainya tidak mendapat bantuan kewangan adalah amat menghina kerana akhlak seseorang insan adalah tidak berkaitan sama ada seseorang itu mendapat bantuan kewangan daripada kerajaan.

Saya merasa amat kecewa dengan Nancy Shukri kerana memegang jawatan Menteri tetapi tidak memahami keadaan kehidupan warga miskin di dalam Malaysia.

Hakikatnya, terdapat ramai warga miskin sama ada di bandar dan luar bandar yang menampung kehidupan mereka sendiri dengan bekerja keras dan mencari rezeki kehidupan dari sumber yang halal.

Ada di kalangan mereka yang bekerja lebih daripada 12 jam sehari tetapi tidak mendapat gaji minima RM1,000.

Ada di antara mereka yang menampung kehidupan dengan bekerja siang malam demi menampung kehidupan harian.

Ada juga anak muda lepasan graduan yang bekerja keras tetapi terpaksa membiayai hutang PTPTN, pinjaman kereta di samping menghadapi kos kehidupan yang makin meningkat.

Mengapakah Nancy sanggup mengaitkan masalah kemiskinan dengan masalah jenayah?

Padahal, yang menjadi pencuri di dalam negara bukan warga miskin, tetapi terdiri juga daripada mereka yang kaya-raya, memegang jawatan tinggi dan mencuri duit rakyat.

Adakah mereka yang terlibat dengan rasuah merupakan golongan miskin yang tidak mendapat bantuan?

Adakah isu yang didedahkan dalam laporan audit negara yang menglibatkan ketirisan dan pemborosan dilakukan oleh golongan miskin yang tidak mendapat bantuan?

Siapakah yang mendapat duit berbilion ringgit di dalam akaun peribadi?

Sememangnya golongan miskin dan lapisan masyarakat kurang upaya perlu dihulurkan bantuan, tetapi bukan dengan cara penghinaan dan penaburan fakta berprejudis.

Saya mendesak Nancy supaya menarik balik kenyataannya dengan segera dan meminta maaf kepada seluruh warga Malaysia atas kenyataannya yang memperlekehkan usaha penghapusan kemiskinan.

* Lee Chean Chung adalah ADUN Semambu dan Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN

Categories
NASIONAL

Nancy digesa dedah bayaran peguam bela kes rayuan fitnah Anwar

Oleh : AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR 19 NOV : Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching mempersoalkan jawapan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Nancy Shukri yang enggan mendedahkan jumlah bayaran yang dibuat Jabatan Peguam Negara kepada peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Md Abdullah.

Bayaran itu dibuat kepada Shafee yang juga peguam bela kerajaan dalam kes rayuan fitnah dua terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

teo nie ching red 01Beliau berkata, perkara itu tidak sepatutnya menjadi rahsia antara majikan dan pelanggan kerana bekas menteri JPM, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mendedahkan jumlah kos perbelanjaan dan guaman dalam kes siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap inkues kematian Teoh Beng Hock.

Nazri menyatakan, kos perbelanjaan SPRM termasuk menggunakan khidmat ahli patologi United Kingdom, Dr Peter Venezis berjumlah RM90,680 yang meliputi perbelanjaan tiket penerbangan, penginapan, makanan, pengangkutan dan bayaran khidmat profesional dalam jawapannya, pada 5 Oktober 2011

“Bayaran guaman Shafee untuk kes terbabit berjumlah RM150,000. Mengapa selepas dua tahun kerajaan menukar polisi ini.

“Kenapa kerajaan mendengar cakap peguam untuk tidak mendedahkan jumlah bayaran kerana membabitkan penggunaan wang pembayar cukai. Terma ‘menghormati etika hubungan profesionalisme dan kerahsiaan antara majikan dan pelanggan ini tidak boleh digunapakai,” katanya pada sidang media, di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Selain itu, Nie Ching turut mempersoalkan tindakan kerajaan yang tidak menggunakan khidmat peguam dari pejabat Peguam Negara untuk mengendalikan kes berkenaan.

-NFN-