Categories
NASIONAL

Menteri Pertanian salah guna kuasa

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 23 NOV: Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani didapati menyalahgunakan kuasa dengan melantik pemborong beras bersubsidi ST15 melalui senarai yang ditentukan menteri tanpa proses pemilihan berdasarkan kriteria ditetapkan jawatankuasa.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, berkata perkara yang dijelaskan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2014 itu turut menyebut senarai pemborong di bawah kouta khas tidak dapat dikenalpasti kerana tiada rekod yang menunjukkan pembahagian kouta, bermula Mei hingga Disember 2014.

“Ini bukan saya yang sebut tetapi pengakuan penemuan audit seperti apa yang ditulis dalam Laporan Ketua Audit Negara dengan jelas menyatakan perkataan penyalahgunaan kuasa oleh menteri.

mahfuz omar“Oleh itu, saya menyeru pihak bertanggungjawab seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil tindakan dengan menjalankan siasatan segera, Menteri Pertanian yang mana terlibat kerana beliau buat salah tetapi yang jadi mangsa adalah orang miskin,” katanya pada sidang media, di lobi Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau berkata, ia kerana pemborong yang dipilih menteri terbabit dipercayai menukar label gred beras ST15 kepada lebih tinggi bagi membolehkan dijual dengan harga lebih mahal, sekali gus melipatgandakan keuntungan diperolehi.

Semakan Selangor Kini mendapati Laporan Ketua Audit Negara 2014 itu menyebut “semakan audit mendapati pelantikan pemborong melalui kouta khas tidak melalui proses penilaian oleh jawatankuasa tetapi ia sekadar mengesahkan (endorse) pemborong yang sudah ditetapkan”.

pertanian“Kementerian Pertanian mengakui pembahagian kouta khas itu tidak melalui proses pemilihan dan ditentukan berdasar senarai yang dikemukakan menteri sehingga April 2014.

Laporan itu turut menyebut “pada pendapat audit, pelantikan pemborong tanpa melalui proses pemilihan berdasarkan kriteria yang ditetapkan oleh jawatankuasa adalah satu penyalahgunaan kuasa”.

“Dengan cara itu, ia boleh menyebabkan pemborong tidak berkelayakan memperoleh kouta beras subsidi dan seterusnya menjejaskan objektif serta sistem penyampaian program kerajaan,” memetik laporan itu.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.