Oleh: NAZLI IBRAHIM
KUALA LUMPUR, 23 NOV: Isu pertemuan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dengan anak perempuan bekas ketua kumpulan bersenjata Sulu, Jamalul Kiram III, Jacel H Kiram, di Filipina, baru-baru ini tidak perlu digembar-gembur lagi.
Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, berkata hal itu kerana Nurul Izzah selain sudah meminta maaf turut menjelaskan beliau tidak mengetahui siapakah yang terdapat dalam senarai jemputan dalam majlis itu.
“Kita memang selalu ke persidangan antarabangsa dan bergambar dengan banyak pihak seperti yang dijelaska Nurul Izzah apabila beliau juga tak sedar siapa yang dijemput dalam pertemuan itu. Ini membuatkan kita kesal serta tidak selesa.
“Nurul Izzah juga sudah memohon maaf dengan keluarga perajurit yang terkorban dalam isu ini. Jadi, apa lagi yang kita nak mainkan isu ini,” katanya di lobi Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Tian Chua turut menyeru semua pihak tanpa mengira parti politik bersatu demi mempertahankan kedaulatan negara bukannya menyerang sesama sendiri tanpa asas demi kepentingan politik.
Sementara itu, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Idris Ahmad turut menasihatkan sesetengah media tidak memutarbelitkan pertemuan gambar itu yang sengaja memberi persepsi negatif kepada masyarakat.
“Takkanlah jika saya jumpa sesiapa boleh jadi satu kesalahan. Saya rasa ini agak dangkal dan media pula jangan ‘spin’. Isu berjumpa dengan anak Raja Kiram dan pencerobohan Lahad Datu adalah isu berlainan,” katanya.
-NFN-