Categories
NASIONAL

Najib mungkin tangguh PRU-14?

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 8 NOV: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka menangguhkan pilihan raya umum ke-14 (PRU14) kerana takut kehilangan kuasanya.

Wartawan Veteran, Datuk A. Kadir Jasin, berkata Najib dan penyokongnya tidak berhasrat berundur, malah tiada apa yang boleh dilakukan bagi menjatuhkan beliau sehingga PRU akan datang.

Najib-RMBekas ketua pengarang kumpulan New Straits Times itu juga memberi amaran supaya rakyat tidak sekali-kali melakukan hal yang boleh dijadikan alasan Najib dan konco-konconya untuk tidak mengadakan PRU.

“Orang ramai perlu bersedia menghadapi kemungkinan Najib cuba melambatkan PRU14 yang dijadualkan pada 2018.

“Sekiranya PRU diadakan, kita perlu melihat ke hadapan melepasi Najib dan hegemoni Barisan Nasional (BN),” katanya menerusi blognya.

Kadir berkata rakyat perlu melihat ke era baharu apabila BN bukan lagi tempat bergantung, kerana tidak lagi terangkum (inclusive) dan peduli kepentingan rakyat di bawah kepemimpinan sekarang.

“Mereka bertindak seolah-olah mereka “lord and master of the universe”,”katanya.

Beliau juga menggesa rakyat bekerjasama dan mencadangkan gerakan non-partisan (yang tidak berpihak) ditubuhkan dengan menggabungkan pelbagai lapisan yang komited menyelamatkan Malaysia.

Kadir berkata, dunia kini “semakin tidak percaya” kepada Malaysia dan rakyat perlu menunjukkan mereka peduli dan “akan melakukan apa saja” demi menyelamatkan negara.

Katanya, kebijaksanaan semasa pula, katanya, tidak lagi berkesan dalam membetulkan kerajaan kerana “Najib tidak berjuang di atas landasan yang sama”.

“‘Conventional wisdom’ nampaknya tidak ada tempat dalam strategi dan tindak-tanduk beliau. Sebaliknya beliau bertindak di luar konvensyen dan kebijaksanaan semata-mata untuk menyelamatkan diri.

“Kita terpaksa akur kepada apa yang sedang berlaku, iaitu sesuatu yang belum pernah kita lalui sejak merdeka pada 1957.

“Kita bermain bola di atas padang yang tidak rata, pengadilnya berat sebelah dan kedudukan gol diubah-ubah,” katanya.

Najib kini menerima tekanan berhubung dakwaan skandal kewangan melibatkan 1Malaysia Development Bhd (1MDB), dan deposit RM2.6 bilion dalam akaun bank peribadinya, dua isu yang turut menimbulkan hura hara dalam partinya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.