Categories
SELANGOR

Panel Dialisis Sihat Selangor: Lantik lebih banyak pusat dialisis swasta

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 3 NOV: Seramai 282 pesakit berjaya dibiayai Kerajaan Negeri melalui Panel Dialisis Sihat Selangor yang dilantik bagi tahun 2015, kata Exco Kesihatan, Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Dr Daroyah Alwi.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1 juta bagi membiayai kos rawatan dialisis melalui Program Bantuan Sihat Selangor yang dilaksanakan kepada pesakit yang layak dan memerlukan bantuan bagi membiayai rawatan dialisis.

yb daroyah -edit 1“Kerajaan Negeri akan meneruskan usaha untuk melantik lebih banyak pusat dialisis swasta pada masa hadapan sebagai Panel Dialisis Sihat Selangor.

“Kita juga mensasarkan lantikan itu dilaksanakan di 20 pusat setiap tahun. Pemilihan itu dilakukan Kerajaan Negeri dan Jabatan Kesihatan Negeri dengan melawat operasi pusat itu dan diaudit sebelum terpilih.

“Mereka ini perlu mematuhi semua syarat yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya menjawab soalan Ng Sze Han (DAP-Kinrara) dalam Sidang Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Daroyah berkata, Kerajaan Negeri memberikan RM5,000 kepada setiap pesakit setahun dan meminta panel dialisis menyeragamkan pembayaran kepada mereka.

dialisisBeliau berkata, Panel Dialisis Sihat Selangor dilaksanakan bertujuan membantu pesakit buah pinggang yang tidak berkemampuan untuk mendapatkan rawatan secara berkala.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri meluluskan untuk menjalankan kerjasama strategik dengan pusat dialisis swasta, pada Mac lalu.

“Strategi pelaksanaan ini dilihat lebih berkesan, mudah dan berimpak tinggi berbanding jika Kerajaan Negeri mewujud serta menguruskan pusat dialisis itu sendiri,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.