Categories
BERITA UTAMA

Pilihan Raya Turki: AK Parti berjaya tubuh kerajaan

Oleh: Syafiq Shafii

Setelah gagal membentuk kerajaan gabungan pada 7 Jun yang lepas, Turki sekali lagi kembali kepada peti undi. Dengan keputusan Pilihanraya awal 1 November ini, Parti AK (Justice and Development Party) sekali lagi berjaya membentuk kerajaan bersendirian tanpa gabungan setelah memerintah Turki selama 13 tahun.

AKP telah berjaya memperolehi 49,4%, diikuti dengan Parti pembangkang CHP (Republic People Party) sebanyak 25,43%, Parti MHP (Nationalist Party) dan Parti HDP ( People’s Democratic Party) sebanyak 10.7%.

Turki AKPJika dibandingkan dengan Pilihan Raya 7 Jun yang lepas, undi AKP meningkat daripada 41 % dan 258 kerusi kepada 316 kerusi.

CHP juga meningkat sebanyak 0.2% dan 2 kerusi. Manakala MHP dan HDP masing-masing menurun peratus undi popular dan jumlah kerusi.

MHP daripada 16,3 % kepada 11,9 % dan 80 kerusi kepada 41 kerusi. HDP pula daripada 13,2% kepada 10,7% dan daripada 80 kerusi kepada 59 kerusi.

Peratus yang keluar mengundi juga agak tinggi iaitu sebanyak 87.6 % berbanding pilihanraya 7 Jun iaitu 86,4%.

Perdana Menteri Ahmet Davutoglu di dalam ucapan di balkoni Pejabat AKP Ankara mengatakan kemenangan ini adalah kemenangan untuk demokrasi dan untuk semua 78 Juta rakyat Turki.

Presiden Turki dan juga bekas ketua AKP, Recep Tayyip Erdogan pula menyatakan keputusan ini adalah jawapan rakyat Turki kepada keganasan, darah, letupan bom, air mata dan pengganas yang menyorok disebalik bayang hitam.

Kemal Kilicdaroglu, Ketua Parti CHP pula berkata ‘walaupun ada peningkatan undi bagi CHP, namun kami tidak nampak ini adalah kemenangan bagi kami’.

TurkiMelihat kepada pola pengundian pilihanraya kali ini, jelas sekali rakyat Turki tidak mahu dan menolak kerajaan gabungan (coalition).

Setelah 13 tahun AKP memerintah secara bersendirian, golongan anak muda terutamanya tidak faham apakah makna kerajaan gabungan, kerana mereka tidak pernah merasai pengalaman kerajaan gabungan yang biasanya membawa Turki kepada masalah.

Selepas 7 Jun , carian di Google Turki yang paling banyak adalah Coalition. Undi golongan anak muda memainkan peranan dalam pilihanraya 7 Jun dan 1 November.

Selain itu, rakyat Turki juga menolak politik keganasan samada daripada pengganas puak pemberontak Kurdish, Isis atau organisasi Fethullah Gulen. Selepas 7 Jun, berlaku 2 letupan yang yang besar di Suruc dan Ankara.
Letupan di Ankara pada 10 Oktober merupakan letupan yang paling besar didalam sejarah Turki yang telah mengakibatkan 100 kematian.

Pengganas PKK juga telah mencabul gencatan senjata yang dibuat dengan kerajaan Turki sebelum ini dan menimbulkan kembali keganasan di Timur Turki.

Apakah selepas pilihan raya 1 November?

Keputusan cemerlang yang dicatatkan oleh AKP pada pilihan raya kali ini membolehkan AKP meneruskan programnya yang sebelum ini terhenti selama 5 bulan.

12065945_983166468396057_2878845854472725721_nProjek-projek mega akan diteruskan dan manifesto pilihanraya 1 November akan dilaksanakan.

‘Proses penyelesaian’ diantara kaum Kurdish juga akan diteruskan setelah tergendala dengan pencabulan perjanjian oleh PKK. Isu pengganas samada PKK, ISIS dan organisasi Fethullah Gulen juga perlu diselesaikan dengan bijak oleh kerajaan.

Di dalam ucapan balkoni, Ahmet Davutoglu memanggil semua parti yang ada didalam Parlimen untuk berkerjasama membentuk satu perlembagaan baru.
Yang dimaksudkannya adalah perubahan sistem pemerintahan Presiden.

Untuk mengubah perlembagaan Turki, Ahmet Davutoglu boleh memanggil referendum daripada rakyat seperti yang telah berlaku pada tahun 2012.

Namun untuk memanggil referendum, mereka memerlukan 330 undi daripada Parlimen. AKP kekurangan 14 kerusi daripada 330 kerusi setakat ini.

Kesimpulan :

Dengan keputusan pilihanraya ini, kerajaan Turki akan terus mengorak langkah dalam menghadapi visi 2023.

Keputusan pilihan raya ini hanyalah sebuah trailer. Filem yang sebenar akan dimulakan selepas pilihan raya ini.

Keputusan ini bukan sahaja disambut gembira oleh rakyat Turki, namun disambut juga oleh rakyat yang sedang dizalimi oleh rejim di seluruh dunia Islam.

*Syafiq Shafii adalah Korespondan antarabangsa ABIM di Turki

Leave a Reply

Your email address will not be published.