Categories
SELANGOR

Popularkan sukan sepak takraw cungkil bakat baru

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 30 NOV: Kerajaan Negeri disaran memperbanyakkan pertandingan sepak takraw di peringkat daerah bagi mempopularkan sukan terbabit serta menarik minat belia menyertainya.

Adun Dusun Tua, Razaly Hassan, berkata sebagai sebuah negeri pernah cemerlang dalam sukan itu pada ketika dahulu, sewajarnya langkah memperkasakan kembali dibuat bagi mengulangi pencapaian lampau.

Sepak takraw“Selangor dahulu terkenal tetapi sekarang dilihat pembangunannya tidak begitu terdedah kerana apa saya perhatikan contohnya di peringkat daerah tiada usaha memperbanyakkan permainan atau pertandingan bagi mencungkil bakat baharu.

“Disarankan sepak takraw ini diperkasakan kembali kerana kini banyak negara berminat membabitkan diri dalam permainan ini di peringkat antarabangsa,” katanya kepada Selangor Kini.

Mantan pemain negeri itu berkata, dengan segala kemudahan tersedia dan populasi tinggi di kalangan golongan muda, Selangor boleh memulakan pendekatan itu sebagai perintis demi kebaikan pasukan sepak takraw negara.

Katanya, dahulu pasukan negara digeruni musuh tradisi, Thailand tetapi sekarang saingan lebih terbuka dan luas dengan pembabitan aktif Korea, China serta negara Asia lain selain negara Timur Tengah begitu berminat dengan sukan ini.

“Kita berharap kalau kerajaan mahu mengekalkan nama negara dalam sukan sepak takraw maka perlu difikirkan pemberian imbuhan munasabah kepada pemain bersesuaian dengan keadaan masa kini,” katanya.

Sebelum ini, Adun Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kekurangan penganjuran kejohanan sukan di peringkat belia di DUN terbabit menjadi antara inti pati utama penganjuran Kejohanan Sepak Takraw Piala Adun Kajang.

“Ini adalah permulaan, selepas ini kita akan memperhebatkan lagi kejohanan sukan lain dalam menyemarakkan budaya hidup sihat.

“Tidak seperti dahulu, sepak takraw kini kurang diminati. Oleh sebab itu kita anjurkan kejohanan ini yang antara lainnya adalah untuk mempromosi kembali sukan tradisi ini di kalangan belia,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.