Categories
AGENDA NASIONAL

Agong zahir takziah kepada keluarga jaguh sepak takraw negara

KUALA LUMPUR, 8 JUN : Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga legenda sepak takraw negara, Sahak Md Yassim yang meninggal dunia, semalam.

Istana Negara menerusi laman media sosial rasminya menyatakan Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan berharap seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi suasana sedih dan pilu ini.

“Seri Paduka Baginda amat menyanjung tinggi dan menghargai khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham kepada negara serta menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada sukan sepak takraw negara.

“Seri Paduka Baginda mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin,” titah Al-Sultan Abdullah.

Allahyarham yang mesra disapa Pak Sahak, 74, meninggal dunia pada pukul 3.30 petang semalam di kediamannya, Taman Bunga Raya, Setapak di sini.

Berasal dari Kampung Nuri, Johol, Negeri Sembilan, bekas apit kanan negara itu pernah mewakili Malaysia dalam Sukan SEAP (Sukan SEA), Piala Emas Khir Johari, Piala Tuanku Abdul Rahman, Piala Tun Razak, Piala Tan Seri Jamil Rais dan Piala Raja Thai dan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Allahyarham, yang merupakan bekas anggota tentera ketika zaman kegemilangannya dari tahun 1971 hingga 1979, merupakan legenda sepak takraw negara yang digeruni regu Thailand dan dilantik sebagai perunding Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSTM) tahun lepas.

— BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Sukan Sea: Prestasi pemain sepak takraw lebih penting banding usia

KUALA LUMPUR, 5 SEPT: Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) menegaskan usia bukan ukuran, sebaliknya pencapaian semasa menjadi penanda aras untuk dipilih mewakili negara ke Sukan SEA 2021 di Vietnam.

Presiden PSM Datuk Seri Ahmad Ismail berkata pemain senior tetap menjadi keutamaan bagi membarisi skuad sepak takraw negara jika tiada atlet muda yang mampu menandingi prestasi mereka.

Ahmad menegaskan keputusannya itu bukan menidakkan cadangan dibuat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk menyenaraikan atlet pelapis ke temasya dwitahunan itu, namun mengambil kira faktor pemain berpengalaman sebagai nadi utama pasukan.

“PSM setuju dengan pendirian siapa yang terbaik, mereka akan pergi ( Sukan SEA Vietnam). Mungkin atlet baru berumur 21 tahun atau lebih sikit. Kalau 25 tahun pun tiada masalah. Kami tidak kisah umur berapa. Hanya yang terbaik akan dipilih.

“Nak tahu siapa yang terbaik, kena ada kejohanan. Dari situ kita akan pilih siapa yang terbaik untuk dihantar ke Sukan SEA. Kita tidak mahu menidakkan bakat atlet sedia ada, disebabkan kriteria baru ini,” katanya, baru-baru ini.

Ahmad berkata perkara sama juga dilakukan musuh tradisi, Thailand, apabila pemain senior turut disenaraikan bagi memperkukuhkan kekuatan pasukan dalam misi mengekalkan pingat emas, di temasya dwitahunan itu.

“Kita lihat yang menjadi pencabar utama kepada kita ialah Thailand. Seluruh peminat tahu atlet mereka berusia dan berpengalaman. Itu antara sebab mengapa Thailand memonopoli sukan ini.

“Pemain Thailand sudah tujuh, lapan kali ke Sukan SEA dan Sukan Asia. Umur bukan ukuran dia, Ponchai (Ponchai Kaokaew) tahun ni dia 39 tahun, dan tahun ni saya dengar dia akan bermain lagi di Sukan SEA, dan mungkin ini yang terakhir.

“Kita kalah selama ini bukan dari segi kemahiran semata-mata, memang ada beza tapi ia lebih kepada mental. Mental tak kuat sebab kena jumpa pemain Thailand yang berpengalaman. Saya yakin dalam masa setahun dua ini, atlet Malaysia juga boleh berada di tahap itu,” katanya.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Bangkit kembali sukan sepak takraw

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 26 FE : Kejohanan Sepak Takraw Piala Haniza Talha anjuran Kelab Takraw Taman Medan yang diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Medan menerima sambutan yang amat baik, semalam.

Ahli Dewan Negeri Taman Medan, Haniza Talha berkata, kejohanan sepak takraw berkenaan diadakan bagi membangkitkan kembali sukan yang semakin dilupai itu.

“Sukan sepak takraw kurang mendapat perhatian pada masa kini, jadi ini adalah salah satu inisiatif DUN Taman Medan melaksanakan kejohanan itu supaya tidak terus lenyap ditelan zaman.

“Sebenarnya, ramai peminat yang gemar menyertai sukan ini, namun mereka kurang diketengahkan disebabkan atas beberapa faktor antaranya kurangnya publisiti,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Haniza berkata, acara kejohanan sepak takraw itu diadakan bertujuan memberi peluang kepada golongan belia mengcungkil bakat selain menarik mereka supaya tidak terjebak dengan perkara yang tidak bermanfaat.

“Acara sukan seperti ini amat bagus kerana ia membentuk disiplin pemain. Pada masa sama, saya turut menasihati mereka yang mempunyai kelab sepak takraw untuk berdaftar dengan Kerajaan Negeri atau Kementerian Belia dan Sukan supaya bakat dapat diketengahkan ke peringkat yang lebih jauh,” katanya.

Terdahulu, Kejohanan Sepak Takraw Piala Haniza Talha adalah pertama kali diadakan pada tahun ini membabitkan 36 pasukan dengan kategori terbuka untuk golongan belia bawah 45 tahun.

Haniza berkata, ia bakal dilaksanakan sebagai acara sukan tahunan, pada setiap tahun.

Manakala, hadiah ditawarkan masing-masing membawa pulang medal dan t-shirt, manakala johan menerima RM1,000, tempat kedua (RM600) dan tempat ketiga (RM200).

Categories
SUKANKINI

Sabak Bernam nadi pembangunan sepak takraw Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 4 DIS: Sabak Bernam berpotensi diangkat sebagai daerah pembangunan sukan sepak takraw negeri menerusi penubuhan Persatuan Sepak Takraw Sabak Bernam (PSSB).

Persatuan yang dterajui Presidennya, Ghazali Ismal yang juga ahli komuniti sepak takraw terbesar negara, Masyarakat Bola Rotan (MBR) komited memacu pertumbuhan nadi pembangunan sukan itu.

Beliau berkata, sejak penubuhan PSSB, pelbagai aktiviti dijalankan bagi mengukuhkan agenda pembangunan sukan itu, di peringkat akar umbi.

“Ini termasuk penganjuran Trio Impian Liga Perangsang Selangor iaitu satu inisiatif Sports For All yang dibiayai Kumpulan Perangsang Sdn Bhd membabitkan lebih 130 orang dari pelbagai peringkat umur.

“Program selama dua hari itu dipecahkan kepada tiga kategori iaitu bawah 12 dan bawah 17 tahun serta kategori terbuka,” katanya.

Penganjuran program itu menyaksikan 40 pelajar dari segenap kawasan di daerah Sabak Bernam meliputi peringkat usia menyertai program berkenaan.

Ghazali berkata, ia merupakan penemuan menarik kerana banyak pemain berbakat yang sebelum ini tidak dikesan muncul.

“Mutiara terpendam ini merupakan aset penting Sabak Bernam dalam sukan sepak takraw khususnya bagi proses pembangunan pada masa akan datang,” katanya.

Pada masa sama, Ghazali berkata, Sekolah Kebangsaan Sabak Bernam dan Bakat Baru Junior muncul juara bagi kategori bawah 12 tahun dan 17 tahun.

“Dengan adanya program sebegini, bintang sukan di daerah ini boleh diketengahkan dalam medium lebih baik dan pastinya menambah potensi Selangor untuk kembali merajai sukan tradisi ini,” katanya.

Categories
SUKANKINI

MSN Selangor sedia bincang dengan persatuan sukan

OLEH HAFIZAN TAIB

PETALING JAYA, 17 OKT: Kerajaan Negeri melalui Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor sedia mengadakan perbincangan dengan persatuan sukan di bawah naungannya ke arah kemajuan sukan di negeri itu.

Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, berkata MSN Selangor akan menilai dan melihat bentuk bantuan diperlu berdasarkan perancangan dirangka sesuatu pertubuhan sukan itu.

“MSN Selangor sedia berbincang mengenai perkara ini.

“Kalau mereka mempunyai rancangan terhadap program pembangunan sukan, sudah pasti kita bersedia membantu dengan keupayaan dimiliki,” katanya kepada SelangorKini, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai respon terhadap Persatuan Sepak Takraw Selangor dan Persatuan Badminton Selangor yang meminta Kerajaan Negeri melakukan penambahbaikan dalam pembangunan sukannya.

Mengulas lanjut, katanya, setakat ini Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan sekitar RM40,000 setahun kepada semua persatuan sukan untuk program pembangunan sukan dan bagi penyertaan dalam beberapa kejohanan.

“Walaupun saya percaya tidak cukup kepada sebahagian persatuan sukan tetapi ia memadai untuk persiapan menyediakan atlet ke kejohanan seperti Sukan Malaysia (Sukma).

“Namun begitu, terdapat persatuan sukan tertentu menyediakan program yang banyak dan tersusun.

“Kalau persatuan sukan itu sudah nampak bergerak aktif maka ia tidak menjadi halangan kepada kita untuk memberikan sokongan,” katanya.

=EZY=

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Pembangunan Sukan Sepaktakraw dan Badminton perlu penambahbaikan

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 17 OKT: Kerajaan Negeri disaran melakukan penambahbaikan dalam pembangunan sukan sepak takraw dan badminton di Selangor supaya lebih berkembang dan maju.

Setiausaha Persatuan Sepak Takraw Selangor, Mustakim Mairin, berkata sepak takraw memerlukan lebih banyak gelanggang untuk kemajuan sukan itu serta menjayakan pertandingan di negeri itu.

“Kerajaan Negeri melalui Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor perlu membina lebih banyak gelanggang bagi sukan sepak takraw di Selangor khususnya di peringkat daerah.

“Kekurangannya menyebabkan perkembangan sukan ini agak perlahan kerana kita perlu berkongsi gelanggang sedia ada di kendalikan pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan pihak lain,” katanya kepada SelangorKini.

Dari segi peruntukan, beliau berkata, Kerajaan Negeri yang bakal membentangkan Belanjawan 2018 diminta menambah peruntukan disalurkan sebelumnya demi memenuhi keperluan persatuan dan atlet di bawah kendaliannya.

Katanya, penganjuran pertandingan dan latihan memerlukan perbelanjaan besar dalam usaha melahirkan bakat baru di Selangor.

“Badminton di Selangor memerlukan kemudahan lengkap ala ‘Mini Bukit Jalil’ seperti pusat latihan dan penempatan pemain supaya latihan lebih teratur serta sistematik dapat dilakukan demi kemajuan sukan ini.

“Kemudahan yang ada ketika ini ialah kompleks sukan badminton di Kampung Attap, Kuala Lumpur dan kita menghadapi kesukaran kerana ia jauh daripada Selangor,” katanya.

Beliau berkata, badminton juga memerlukan sejumlah peruntukan sewajarnya demi memenuhi keperluan atlet untuk tujuan latihan dan penyertaan dalam pertandingan.

Katanya, badminton adalah antara sukan popular dan menjadi tumpuan di negara ini dengan Selangor antara negeri utama dalam melahirkan bakat baru.

“Dengan peruntukan agak terhad, badminton Selangor tetap mencatat pencapaian baik dalam pertandingan seperti Sukan Sukma lalu dengan dua pingat emas.

“Sehubungan itu, Kerajaan Negeri diminta menyediakan kemudahan lebih baik untuk kebaikan pemain badminton negeri,” katanya.

=EZY=

Categories
PBT SELANGOR

MPAJ anjur lima siri jelajah sepak takraw Julai

OLEH: SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 9 MAC: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) akan mengadakan lima siri jelajah bagi Kejohanan Sepak Takraw sempena sambutan Jubli Perak MPAJ, pada Julai ini.

mpajPegawai Komunikasi Korporat MPAJ , Norhayati Ahamd berkata, kejohanan itu diadakan bertujuan menarik minat generasi muda khususnya di kawasan itu dalam bidang sukan takraw.

“Objektif kejohanan ini diadakan untuk mencungkil bakat baru dalam sukan ini.

“Kita juga mahu menarik minat penduduk Ampang khususnya generasi muda,” katanya dalam kenyataan.

Norhayati berkata, perlawanan akhir pula akan berlangsung di Destar Arena, pada 22 Julai ini.

-NFN-

Categories
SUKANKINI

70 peserta sertai MBR Kuala Langat

KUALA LANGAT 10 JAN: Program pembangunan sepak takraw kelolaan Masyarakat Bolarotan (MBR) kali ini berkunjung ke Kuala Langat.

Program tajaan Kumpulan Perangsang Selangor Berhad ini meneruskan siri keempat dengan Pusat Latihan Daerah Kuala Langat iaitu SK Sijangkang Jaya menjadi lokasi program.

Seramai hampir 70 peserta semuda lapan tahun sehingga awal 40-an hadir menjayakan program ini.

Untuk edisi keempat ini, guru pembimbing Sekolah Sukan Selangor Seksyen 11 Shah Alam iaitu Syahrudin Nazir bertugas selaku ketua jurulatih.

Turut membantu sebagai fasilitator ialah pemain dari kelab sepak takraw yang semakin meningkat naik dari Banting iaitu Kelab Sepaktakraw BUDI.

Penyelaras Teknik Sepaktakraw Kuala Langat iaitu Suhaimi Mohamed Sayuti turut membantu dari aspek penyediaan kelengkapan dan fasiliti.

Pusat latihan ini dilengkapi dengan tiga gelanggang berbumbung yang mana ia sesuai bagi program pembangunan sepak takraw.

Suasana persekitaran selesa dan luas turut memudahkan pelbagai aktiviti peningkatan atlit dijalankan.

Selain itu, ia juga sesuai dijadikan lokasi kejohanan terutama jumlah tiga gelanggang tersedia membantu kejohanan berskala sederhana dan besar.

Program Trio Impian kali ini turut menyaksikan beberapa bakat baru yang berpotensi diketengahkan.

Tekong berusia 17 tahun iaitu Muhammad Firdaus Abdul Issyam yang sebelum ini tidak pun berpeluang mewakili daerah, tetapi menunjukkan kemampuan melakukan servis dengan laju dan mantap.

Kini beliau dipantau oleh Pusat Latihan Daerah bagi memastikan bakatnya tidak ketinggalan lagi.

Menurut Shahrim Mukhtar yang juga salah seorang pengadil sepak takraw di Selangor, program ini baik untuk pendedahan di peringkat akar umbi. Beliau turut membawa tiga cucunya hadir sama sebagai peserta.

Peserta turut beraksi dalam perlawanan simulasi Liga Air Di Cincang Takkan Putus (ADTP) dan membawa pulang pelbagai hadiah antaranya tajaan Gajah Emas Industries Sdn Bhd.

Turut beraksi pada acara itu ialah apit kanan negeri Selangor iaitu Saudara Najib Rahman yang turut membimbing Trio Impian Daerah Kuala Langat selepas ini.

Untuk melihat lebih banyak foto dan video, pembaca boleh terus ke Page Facebook rasmi Bolarotan atau Facebook Masyarakat Bolarotan.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sepang lubuk sepak takraw

OLEH AFIX REDZUAN

SEPANG, 29 DIS: Siri ketiga program pembangunan sepaktakraw TRIO Impian Perangsang Selangor 2016 bagi daerah Sepang berjaya menarik hampir 80 orang peserta seawal 12 hingga 60 tahun.

Penggiat sepak takraw seluruh daerah Sepang hadir termasuk dari Negeri Sembilan dan Johor yang turut mengambil peluang menyertai program tajaan Kumpulan Perangsang Selangor Berhad itu selama dua hari, pada 24 dan 25 Disember lalu.

Program bermula dengan pendaftaran peserta seawal jam 10 pagi dan latihan pelbagai modul selain diadakan simulasi perlawanan berbentuk perlawanan liga 13 regu bertujuan merapatkan lagi ukhuwah antara peserta serta menguji keserasian regu.

tr0a2694Program kali ini dikendalikan sepenuhnya ketua jurulatih yang juga salah seorang tenaga pengendali Sekolah Sukan Negeri Selangor, Seksyen 11, Shah Alam iaitu Syarudin Nazir sambil dibantu Najib Hussin iaitu pembimbing MSSD Sepang dan bekas apit kiri skuad negara Mohd Hafizie Manap.

Mohd Hafizie berkata, beliau amat gembira diberi ruang itu kerana sebagai bekas pemain negara, peluang terlibat dengan Trio Impian 2016 membolehkannya berkongsi pengalaman secara langsung dengan bakat yang berpotensi, sekali gus merangsang mereka untuk mengikuti jejak langkahnya untuk mengharumkan nama negara pada masa akan datang.

Selain itu, beberapa bakat muda berpotensi besar seperti Firdaus Abdulnan yang berusia 21 tahun dan beraksi di posisi apit kanan dikesan. Video aksi beliau yang dimuat naik ke laman sosial mencapai tontonan melebihi 30,000 hanya dalam tempoh kurang 24 jam.

Kelab Sepaktakraw Salak (KESS) dipilih sebagai gelanggang tumpuan bagi daerah Sepang, sekali gus akan bertanggungjawab meneruskan program pembangunan itu di sana demi merealisasikan impian mengangkat kembali Selangor dalam arena sepak takraw kebangsaan.

-NFN-

Categories
SUKANKINI

Sepang lubuk bakat sepak takraw

SEPANG 28 DIS: Seramai 80 peserta seawal usia 12 tahun sehingga 60 tahun menyertai siri ketiga program pembangunan sepaktakraw TRIO Impian Perangsang Selangor 2016 bagi daerah Sepang yang berlangsung di Dewan Komuniti Bandar ENSTEK baru-baru ini.

Penggiat sepak takraw seluruh daerah Sepang hadir termasuk dari Negeri Sembilan dan Johor turut mengambil peluang menyertai program tajaan Kumpulan Perangsang Selangor Berhad.

Program itu melibatkan latihan pelbagai modul turut mengadakan simulasi perlawanan berbentuk perlawanan liga 13 regu bertujuan merapatkan lagi ukhwah di antara peserta selain menguji keserasian regu.

Program kali ini dikendalikan Ketua Jurulatih yang juga salah seorang tenaga pengendali Sekolah Sukan Negeri Selangor Seksyen 11 Shah Alam, Syarudin Nazir.

Beliau dibantu oleh Najib Hussin iaitu pembimbing MSSD Sepang dan bekas apit kiri skuad negara Mohd Hafizie Manap.

Menurut Mohd Hafizie Manap, beliau amat gembira diberi ruang sebegini kerana sebagai bekas pemain negara, peluang terlibat dengan Trio Impian 2016.

bola-rotan1Katanya ini membolehkan beliau berkongsi pengalaman secara langsung dengan bakat berpotensi sekaligus merangsang pemain mengikuti jejak langkahnya mengharumkan nama negara.

Selain itu, beberapa bakat muda berpotensi besar seperti Firdaus Abdulnan yang berusia 21 tahun dan beraksi di posisi apit kanan dikesan.

Video aksi beliau yang dimuatnaik ke laman sosial mencapai tontonan melebihi 30,000 hanya dalam tempoh kurang 24 jam.

Kelab Sepaktakraw Salak (KESS) dipilih sebagai gelanggang tumpuan bagi daerah Sepang dan sekaligus KESS akan bertanggungjawab meneruskan program pembangunan ini di daearah Sepang.

Ini memastikan program TRIO Impian Perangsang Selangor 2016 ini bermanfaat dan membolehkan Selangor kembali mencipta nama dalam arena sepak takraw kebangsaan.

Kepada berminat dengan program ini boleh melayari www.bolarotan.com atau ke Facebook Bolarotan.

=EZY=

Categories
SUKANKINI

Pembangunan sepak takraw diperhebat, lahir bakat cemerlang

HULU LANGAT 3 DIS: Program pembangunan sepak takraw di Selangor menerusi Trio Impian Perangsang Selangor 2016 memasuki siri keduanya dengan kali ini di jalankan di Dewan Orang Ramai Sungai Sekamat pada 12 – 13 November 2016 yang lalu.

Program tajaan Kumpulan Perangsang Selangor Berhad ini terus memburu bakat sepak takraw hebat dari usia seawal 10 tahun dan ia berjaya ditemui di daerah Hulu Langat ini.

Seramai 40 orang terlibat kali ini dalam program selama dua hari sati malam.
Bermula dengan saringan kemahiran, peserta dikendalikan ketua jurulatih bagi daerah Hulu Langat iaitu Setiausaha Agung Kelab Sepaktakraw Hulu Langat (KRISTAL), Norsyahriman Arif.

Turut membantu beliau ialah beberapa lagi jurulatih yang turut hadir dari daerah lain.

Bagi daerah Hulu Langat, gelanggang Dewan Orang Ramai Sungai Sekamat dipilih sebagai Gelanggang Tumpuan yang mana gelanggang ini dikendalikan Kelab Sepaktakraw Sungai Sekamat (KSTSS).

Ia juga berperanan untuk meneruskan program ini selama enam bulan bagi mempersiapkan pasukan Daerah Hulu Langat untuk kejohanan akan datang.

Program susulan seterusnya ialah perlawanan persahabatan antara Daerah Hulu Langat menentang Daerah Petaling yang dijalankan pada pertengahan Disember 2016.

Selain ditaja sepenuhnya oleh Kumpulan Perangsang Selangor Berhad, program ini turut disokong oleh pengeluar kelengkapan sepaktakraw tempatan iaitu Gajah Emas Industries Sdn Bhd.

Selepas ini ada tujuh lagi daerah yang menjalankan program sebegini dan diharapkan mampu membawa semula nama Selangor sebagai negeri yang memiliki sejarah hebat di arena sepaktakraw tempatan.

Semua foto dan video program ini turut dimuat naik ke laman web MBR iaitu Bolarotan.com.

Maklumat berkenaan program in ijuga turut boleh diperolehi melalui Facebook Masyarakat Bolarotan.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SUKANKINI

Sepak takraw terima suntikan baru lahir bakat gemilang

SHAH ALAM 6 NOV: Sukan sepak takraw kini menerima suntikan baru di Selangor apabila Program Trio Impian Perangsang Selangor 2016 yang berlangsung selama enam bulan mulai Oktober 2016 sehingga Februari 2017 bakal menjelajah ke semua sembilan daerah di negeri itu.

Inisiatif ini digerakkan oleh Masyarakat Bolarotan (MBR) iaitu NGO penggiat sepaktakraw terbesar di Malaysia dengan tajaan dari Kumpulan Perangsang Selangor Berhad.

Pada 22 – 23 Oktober 2016 yang lalu, edisi sulung program Trio Impian ini dijalankan di Dewan Kiambang Majlis Bandaraya Shah Alam dengan Daerah Petaling membuka tirai program unik ini.

Program ini bertujuan menggalakkan penggiat sepak takraw dari semua lapisan masyarakat dan bangsa untuk menjalani gaya hidup sihat dengan bersukan selain memartabatkan lagi sukan tradisi di negeri Selangor khususnya.

tr0a9222Seramai 51 orang telah terlibat bagi edisi sulung ini.

Bagi daerah Petaling, gelanggang Kinrara Takraw Frenz di BK5 (Bukit Kinrara) dipilih sebagai Gelanggang Tumpuan yang mana berperanan meneruskan program ini selama enam bulan bagi mempersiapkan pasukan Daerah Petaling untuk kejohanan akan datang.

Program susulan di BK5 ini juga bermula pada 30 Oktober yang lalu.

Presiden MBR, Mohsen Amdan, yang juga pencetus kepada idea Trio Impian ini berkata, program ini mencungkil lebih ramai pemain dari kanak – kanak sehingga veteran.

Selain itu pengisian program ini turut memuatkan elemen kejurulatihan dan kepengadilan.

Ini secara tidak langsung memperkukuhkan komponen sepak takraw di setiap daerah di Selangor dan membolehkan pasukan – pasukan di setiap daerah diperkasakan semula.

Selepas ini ada lapan lagi daerah yang menjalankan program sebegini dan diharapkan mampu membawa semula nama Selangor sebagai negeri yang memiliki sejarah hebat di arena sepaktakraw tempatan.

Semua foto dan video program ini turut dimuat naik ke laman web MBR iaitu Bolarotan.com.

Maklumat berkenaan program in ijuga turut boleh diperolehi melalui Facebook Masyarakat Bolarotan.

EZY