Categories
SELANGOR

Selangor ditadbir penuh amanah, kekal muafakat

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 13 NOV: Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali memuji toleransi PAS yang menarik diri daripada menawarkan calon mereka untuk dilantik sebagai Ahli Dewan Negara.

Mohamed Azmin (KEADILAN-Bukit Antarabangsa), berkata PAS juga terang-terangan menyokong calon yang dikemukakan KEADILAN dan DAP.

Katanya, sikap itu menunjukkan kematangan perjalanan Dewan Negeri selain membuktikan konsensus dan permuafakatan juga sebahagian proses demokrasi.

MB Azmin DNS“Saya bagi pihak Kerajaan Negeri ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada PAS. Ini suatu perkara yang cukup sihat.

“Demokrasi tidak seharusnya kita bertembung dan berlawan,” katanya ketika ucapan penutup sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, semalam.

Terdahulu, DNS meluluskan usul melantik Pengerusi KEADILAN Perak, Dr Muhammad Nur Manuty dan bekas Timbalan Pengerusi DAP Selangor, T Chandra Mohan sebagai Ahli Dewan Negara mewakili negeri itu bagi tempoh tiga tahun.

Pencalonan Muhammad Nur dicadangkan Mohamed Azmin, manakala Chandara Mohan dicadangkan Exco Kanan Negeri, Datuk Teng Chang Khim (DAP-Sungai Pinang).

Mohamed Azmin berkata, PAS juga mengemukakan seorang calon untuk dipertimbangkan sebagai Ahli Dewan Negera sebelum membuat keputusan menarik diri.

“Ini yang Umno tak mahu. Umno kalau boleh dia nak tengok tadi kita berpecah.

“Kita mungkin ada perbezaan pandangan dan pendapat tetapi saya jamin Selangor akan ditadbir dengan amanah dan bertanggungjawab kepada rakyat,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.