Categories
NASIONAL

Wanita Pakatan kesal Kerajaan tumpu isu gambar atasi skandal 1MDB

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 28 NOV: Kepimpinan Wanita Pakatan menyatakan sokongan penuh kepada Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar terhadap isu kontroversi bergambar bersama Jacel Kiram dengan mengadakan himpunan solidariti dalam Kongres Nasional Tahunan ke-11 ini.

Ahli Parlimen Siputeh, Teresa Kok berkata, pihaknya kecewa kerana kerajaan sanggup menumpukan perhatian ke atas isu kecil tetapi tidak menangani isu sebenar yang kini sedang merosakkan negara.

Katanya, isu gambar adalah cubaan Kerajaan mengalih pandangan daripada isu penting lain yang melanda negara.

Teresa-Kok“Skandal 1MDB masih belum selesai, skandal “derma” RM2.6 bilion belum berakhir, kontroversi pembunuhan Kevin Morais, ekonomi merudum dan kepahitan bakal dibawa TPPA semuanya belum selesai.

“Sikap kerajaan yang sengaja mencetuskan banyak kekecohan menunjukkan betapa ghairahnya mereka mahu memburukkan reputasi dan maruah pemimpin pembangkang,” katanya.

Katanya, kepimpinan Wanita Pakatan mendesak kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) menghentikan pembulian terhadap seorang wakil rakyat berwibawa dan kembali menumpukan kepada isu sebenar termasuk pembinaan negara.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.