Categories
SELANGOR

75 individu terima darjah dan bintang kebesaran Selangor

Oleh: AFEEQA AFEERA

KLANG, 12 DIS: Pengerusi Lembaga Zakat Selangor (LZS), YAM Tan Sri Syed Anwar Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail mendahului senarai 75 penerima darjah dan bintang kebesaran Selangor sempena Hari Keputeraan ke-70 DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi DRB-Hicom Berhad dikurnia Darjah Kerabat Selangor Yang Amat Dihormati (D.K.II) di Balairung Seri, Istana Alam Shah sebagai tanda penghormatan kepada mereka yang menyandang jawatan penting kepada Sultan Selangor dan kerajaan.

MB & SULTANSementara Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali menerima Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.), Darjah Kelas Pertama yang membawa gelaran Datuk Seri.

Ahli Dewan di-Raja Selangor yang juga Orang Besar Istana, Tengku Datuk Paduka Putra Alhaj Tengku Azman Shah Alhaj dikurnia Darjah Kebesaran Datuk Setia-Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.S.I.S.)(Darjah Kelas Pertama) yang membawa gelaran Datuk Setia bagi lelaki dan Datin Paduka Setia bagi wanita.

Turut menerima S.S.I.S adalah Hakim Mahkamah Rayuan Malaysia, Datuk Mohd Zawawi Salleh dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohammed Khusrin Munawi.
Mendahului senarai lapan penerima Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S.)(Darjah Kelas Kedua) yang membawa gelaran Datuk bagi lelaki dan Datin Paduka bagi wanita adalah Ketua Hakim Syarie Selangor, Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Penerima lain D.P.M.S adalah Penasihat Undang-Undang Selangor, Datuk Nik Shuhaimi Nik Sulaiman; Felo dan Pensyarah Universiti Oxford, Datuk Dr Afifi Al-Akiti; Timbalan Dekan Siswazah & Hal Ehwal Antarabangsa, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Zainul Rashid Mohamad Razi; Pengarah Jabatan Kesihatan Selangor, Dr S. Balachandran; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSp), Puasa Md Taib; Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Selangor, Mohd Zaki Ibrahim dan Pengerusi CIMB Group Holdings Bhd, Datuk Seri Mohamed Nazir Abdul Razak.

Seramai 10 orang menerima Darjah Kebesaran Datuk-Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S.)(Darjah Kelas Kedua) yang membawa gelaran Datuk bagi lelaki dan Datin Paduka bagi wanita.

KHUSRINMereka adalah Timbalan Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di New York, Raja Reza Raja Zaib Shah Alhaj; Timbalan Panglima Armada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Pertama Ong Thiam Hock; Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Masyarakat & Alumni, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Norsaadah Ismail; Pakar Pergigian Kesihatan Awam, Bahagian Perancangan, Kementerian Kesihatan Malaysia, Datin Dr Nooral Zeila Junid dan Pengarah Jabatan Audit Negara, Negeri Selangor, Ang Nai Har.

Selain itu, Dekan Fakulti Perubatan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Abdul Jalil Nordin; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pelaburan), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Mohamad Nasir Ab Latif; Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana Malaysia Bhd, Datuk Azmi Abdul Aziz; Pengarah MCT Konsortium Bhd, Cheah See Yeong dan Pengerusi United Malacca Bhd, Tan Siok Choo yang juga anak kepada bekas Presiden MCA, mendiang Tun Tan Siew Sin.

Sebanyak enam orang menerima Darjah Kebesaran Setia Mahkota Selangor (S.M.S.) iaitu Ketua Staf Markas Pemerintahan Pendidikan dan Latihan TLDM, Kapten P.Pulendren; Pengarah Cawangan Kontinjensi Bahagian Rancang Markas Angkatan Bersama, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Kolonel Mohamed Nazri Dashah; Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Azman Abd Razak; Kontroler Pembangunan Wilayah Tengah, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Azmi Adnan; Setiausaha Dewan di-Raja Selangor, Hanafisah Jais dan Pengarah Urusan, Strategi Kumpulan & Pembangunan Korporat Sunway Group, Sarena Cheah Yean Tih.

Pada masa sama, seramai lapan orang menerima Darjah Kebesaran Setia-Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.I.S), antaranya Pengurus Besar Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz, Munasor Aliyasak dan Bekas Pengawal Peribadi DYMM Sultan Selangor, Abdullah Shaidin.

15 orang lagi menerima Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Selangor (A.M.S.), 16 orang menerima Darjah Kebesaran Ahli-Sultan Sharafuddin Idris Shah (A.I.S) dan tujuh penerima Bintang Perkhidmatan Cemerlang (B.P.C).

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.