Categories
SELANGOR

Mohamed Azmin terima gelaran Datuk Seri

Oleh: AFEEQA AFEERA

KLANG, 12 DIS: Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali dikurnia Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S), Darjah Kelas Pertama membawa gelaran Datuk Seri sempena Hari Keputeraan ke-70 DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, hari ini.

Beliau antara 75 penerima darjah dan bintang kebesaran Selangor dalam istiadat yang berlangsung di Balairung Seri, Istana Alam Shah, di sini.

MOHAMED AZMINMohamed Azmin menjadi penerima tunggal gelaran itu bersesuaian dengan jawatannya sebagai pemimpin tertinggi negeri.

Dilahirkan di Singapura, Malaysia Mohamed Azmin, 51, mula menceburi bidang politik sekitar tahun 1987 apabila dilantik sebagai Pegawai Khas kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu adalah Menteri Pendidikan.

Beliau memiliki Sarjana Muda dalam bidang Matematik dan Ekonomi di Universiti Minnesota, Amerika Syarikat pada 1987 dan Sarjana Pendidikan di universiti sama.

Mohamed Azmin mendirikan rumah tangga bersama Shamshida Taharin pada 7 Ogos 1988 yang juga penuntut di universiti sama di Amerika Syarikat dan dikurniakan enam orang anak.

Beliau adalah Ahli Parlimen Gombak dan Adun Bukit Antarabangsa sejak 8 Mac 2008 hingga kini serta dipilih sebagai Timbalan Presiden KEADILAN, bermula pada 28 November 2010.

Pada 23 September 2014, Mohamed Azmin mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.