Categories
NASIONAL

AMANAH: Kerajaan memang patut halang dua peserta luncur angin Israel

Oleh: SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 27 DIS: Pemuda AMANAH menyambut baik tindakan kerajaan mengenakan sekatan terhadap dua peserta luncur angin dari Israel yang dijadualkan mengambil bahagian dalam satu kejohanan di Langkawi.

Naib Ketua Pemuda AMANAH, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar, berkata sekatan itu perlu sebagai tanda protes terhadap Israel dan ia perlu dilakukan pada setiap perkara dan bukan hanya sukan semata-mata.

BOIKOT ISRAEL“Tindakan itu juga menunjukkan tanda sokongan dan solidariti Malaysia terhadap rakyat Palestin yang dizalimi oleh kerajaan haram Israel secara berterusan dengan cara tidak bertamadun

“Pemuda AMANAH juga menyokong kerajaan untuk terus konsisten memastikan tidak berlaku sebarang hubungan Malaysia dan Israel termasuk penglibatan firma perunding Israel, APCO Worldwide,” katanya dalam kenyataan.

Dalam masa yang sama, Fakhrulrazi berkata, beliau melahirkan rasa kecewa atas kenyataan Ketua Biro Pembangunan Ekonomi DAP Perak, Chong Zhemin yang menyelar tindakan Khairy, kononnya menteri itu menggunakan sentimen politik dan peribadi dalam acara sukan antarabangsa itu.

“Sebagai rakan gabungan Pakatan Harapan, kami berhak untuk menegur DAP dalam hal ini kerana ia menyentuh sensitiviti umat Islam dalam negara ini dan pencinta keamanan sejagat yang sehingga kini sangat peduli terhadap nasib rakyat di negara Palestin.

“Diharap DAP lebih berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan dan pandangan khususnya melibatkan sensitiviti umat Islam dan hukum hakam agama,” katanya.

Sebelum ini, Khairy Jamaluddin menafikan visa dua peserta luncur angin dari Israel yang dijadual menyertai satu kejohanan di Langkawi, hari ini.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.